
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi membantu persatuan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.
Beliau berkata, peruntukan itu bertujuan memperkukuh peranan persatuan dalam menjaga kebajikan serta membantu komuniti penjaja dan peniaga kecil mengembangkan perniagaan masing-masing.
“Komuniti penjaja dan peniaga kecil merupakan sebahagian penting daripada denyut nadi ekonomi negara. Selain menyediakan barangan dan perkhidmatan keperluan harian, mereka turut menjadi sumber rezeki kepada ribuan keluarga serta menghidupkan ekonomi setempat.
“Sebagai sokongan kepada komuniti ini, saya turut mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada KUSKOP untuk diselaraskan bagi membantu persatuan penjaja dan peniaga kecil, moga ia dapat memperkukuh peranan persatuan dalam menjaga kebajikan serta membantu komuniti penjaja dan peniaga kecil terus berkembang,” katanya pada majlis perasmian penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2026 hari ini.
Anwar berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada usaha memperluas akses pembiayaan, mempercepat pendigitalan dan meningkatkan kemahiran komuniti berkenaan menerusi Belanjawan 2027.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan penjaja dan peniaga kecil terus berkembang serta meningkatkan daya saing dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.
Beliau menegaskan usaha berkenaan selaras dengan tekad Waad Nasional untuk memastikan kemajuan negara turut dirasai hingga ke peringkat akar umbi.
“Inilah antara tekad Waad Nasional, memastikan kemajuan negara turut dirasai hingga ke peringkat akar umbi, selaras dengan semangat menggapai di langit, mengakar di bumi,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan akan terus berusaha membina negara yang adil dan makmur dengan memastikan peluang serta manfaat pembangunan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.

