
KUCHING – Senarai nama menteri, timbalan menteri dan wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang didakwa bakal digugurkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 menerusi mesej WhatsApp tidak boleh dianggap sebagai maklumat rasmi.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penyebaran surat layang berkenaan tidak semestinya menggambarkan keputusan sebenar kepimpinan GPS mengenai pemilihan calon.
Menurutnya, maklumat sedemikian perlu diteliti kerana identiti pihak yang menyebarkannya tidak diketahui, manakala Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg belum mengumumkan senarai rasmi calon gabungan itu.
“Nama saja sudah surat layang,” katanya ketika diminta mengulas mengenai senarai berkenaan.
Abdul Karim berkata, amalan menyebarkan surat layang bukan perkara baharu dalam politik, namun kaedahnya berubah mengikut perkembangan teknologi.
Menurutnya, pada era 1970-an dan 1980-an, surat layang diedarkan secara fizikal tanpa nama atau tandatangan pengirim, sedangkan kini media sosial menjadi saluran penyebaran maklumat seumpama itu.
Beliau berkata, terdapat pihak yang mungkin menyebarkan nama atau gambar individu tertentu bagi mendapatkan reaksi masyarakat terhadap kemungkinan pencalonan mereka.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sebarang senarai atau gambar yang tular tidak boleh dianggap sebagai keputusan GPS selagi pengumuman rasmi belum dibuat oleh kepimpinan gabungan berkenaan.
