
KANOWIT – Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana menyatakan kesediaan untuk terus menawarkan diri sebagai calon pada pilihan raya negeri akan datang bagi meneruskan perjuangan serta agenda pembangunan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, setakat ini belum ada pengumuman rasmi daripada parti berhubung calon yang bakal diketengahkan untuk mewakili kawasan Ngemah pada pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun, Anyi menegaskan komitmennya untuk terus menawarkan diri dan bertanding sekiranya diberikan peluang demi meneruskan khidmat serta memperjuangkan keperluan masyarakat setempat.
“Sepanjang tempoh lima tahun ini, pelbagai pembangunan dan perubahan telah dapat kita lihat di kawasan Ngemah Hilir. Namun, saya akui masih banyak perancangan yang telah dikenal pasti dan dirangka belum dapat direalisasikan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Bersama Komuniti Ngemah Hilir di Dewan Serbaguna SPS Nanga Ngungun pada Ahad.
Anyi turut memaklumkan Klinik Kesihatan Nanga Ngungun, Kanowit dijadualkan menerima sebuah ambulans baharu pada 2027 bagi meningkatkan kemudahan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat.
Katanya, penyediaan kemudahan tersebut merupakan antara perkembangan penting dalam memenuhi keperluan masyarakat khususnya bagi memudahkan urusan mendapatkan bantuan kecemasan.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha membawa pembangunan ke kawasan Ngemah perlu diteruskan memandangkan masih terdapat pelbagai keperluan dan aspirasi masyarakat yang perlu diberi perhatian.
Pada masa sama, Anyi merakamkan penghargaan kepada seluruh masyarakat atas sokongan, kepercayaan dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Beliau berharap hubungan baik antara pemimpin dan masyarakat akan terus diperkukuhkan, selain mengekalkan semangat Segulai Sejalai sebagai asas perpaduan dalam meneruskan agenda pembangunan kawasan berkenaan.



