MELAKA TENGAH – Ketibaan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Azman Abidin disambut meriah dengan persembahan tarian singa, pukulan gendang serta sorakan daripada penyokong.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri itu tiba di Pusat Penamaan Calon di Stadium Hang Jebat di sini, pada jam 8.40 pagi, diiringi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari.
Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN) menerusi Pas mempertaruhkan Rafie Ahmad, 58, tiba di pusat penamaan calon berkenaan pada jam 8.50 pagi.
Suasana bertukar riuh apabila penyokong PN melaung takbir ‘Allahuakbar’ selepas melihat kelibat pengamal media ketika mengiringi calon mereka.
Kedudukan penyokong kedua-dua gabungan yang dipisahkan hanya dengan ruang penempatan itu menjadikan suasana di pusat penamaan calon lebih meriah, sekali gus menarik perhatian orang ramai yang hadir menyaksikan proses berkenaan.
Proses penamaan calon dijadual berakhir pada pukul 10 pagi sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya membuat semakan terhadap borang pencalonan dan mengumumkan calon yang layak bertanding.
Pada PRN lalu, Datuk Rais Yasin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu menang di kerusi Paya Rumput dengan majoriti 629 undi namun PRN Melaka kali ini beliau telah ditukarkan kerusi DUN Sungai Udang yang disandang oleh Perikatan Nasional (PN)
Beliau berjaya menewaskan empat pencabarnya termasuk bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mewakili Pakatan Harapan (PH), selain Muhammad Fariz Izwan Mazlan (PN), Mohd Jaini Dimon (Bebas) dan Mohamad Hashidi Mohd Zin (Putra).


