MELAKA TENGAH – Proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput berlangsung dalam suasana tenang dan terkawal, tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Seawal jam 8 pagi, penyokong parti yang bertanding iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mula berkumpul di perkarangan pusat penamaan bagi memberikan sokongan kepada calon dengan mematuhi segala arahan pihak berkuasa dan garis panduan yang ditetapkan.
Kehadiran kira-kira 200 anggota polis dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut memastikan proses penyerahan borang pencalonan berjalan lancar tanpa provokasi meskipun kerusi DUN Paya Rumput menjadi tumpuan sebelum ini.
Pengumuman oleh Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mencetuskan kontroversi apabila menggugurkan penyandang DUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin digugurkan bagi mengisi kerusi Sungai Udang yang disandang oleh Perikatan Nasional (PN).
Susulan itu, DUN Paya Rumput telah diserahkan kepada Rafie Ahmad yang mewakili PN selain kerusi tersebut turut mendapat perhatian daripada Bersama yang diwakili oleh Abdul Rashid Abu Bakar.
Proses penamaan calon dijadual berakhir pada pukul 10 pagi sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya membuat semakan terhadap borang pencalonan dan mengumumkan calon yang layak bertanding.
Pada PRN lalu, Rais yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu menang di kerusi Paya Rumput dengan majoriti 629 undi.
Beliau berjaya menewaskan empat pencabarnya termasuk bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mewakili Pakatan Harapan (PH), selain Muhammad Fariz Izwan Mazlan (PN), Mohd Jaini Dimon (Bebas) dan Mohamad Hashidi Mohd Zin (Putra).

