
KUCHING – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan maklumat umum dan perangkaan penting bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, berasaskan Daftar Pemilih Terkini (DPT) sehingga 31 Ogos 2026.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Polis (DCP) Saifullizan Ishak berkata, polis Sarawak akan menggerakkan kira-kira 7,469 anggotanya bagi penugasan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Jelas beliau, jumlah itu melibatkan 74 peratus daripada keseluruhan anggota polis di Sarawak, manakala selebihnya akan meneruskan penugasan biasa.
“Bagaimanapun, kita mengalami sedikit kekurangan tenaga kerja iaitu sebanyak 889 anggota. Jadi, kita akan mendapatkan bantuan daripada kontinjen lain, kemungkinan besar daripada kontinjen Sabah, bagi penugasan PRN Sarawak ke-13,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Sarawak, Kuching, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, sejumlah 2,051,596 orang pemilih keseluruhan direkodkan layak mengundi dalam pilihan raya kali ini.
Daripada jumlah tersebut, seramai 2,027,093 adalah pemilih biasa, manakala selebihnya terdiri daripada 13,578 pemilih tentera serta pasangan, dan 10,925 pemilih polis serta pasangan.
Bagi memastikan kelancaran proses pengundian, sebanyak 1,943 pusat mengundi biasa dan 83 pusat mengundi awal telah disediakan di seluruh negeri.
Selain itu, sebanyak 4,482 saluran mengundi biasa dan 106 saluran mengundi awal akan dibuka, disokong oleh penyediaan 1,448 barung biasa.
Kemudahan pusat mengundi biasa merangkumi pelbagai lokasi termasuk sekolah (1,128), rumah panjang (463), dewan (206), balai raya (97), serta lain-lain premis seperti tadika, perpustakaan, pusat komuniti, masjid, surau, klinik desa, bangsal, dan kolej (49).
Sementara itu, pusat mengundi awal melibatkan dewan IPK/IPD/Kem Tentera/PLKN (65), sekolah (1), serta lain-lain lokasi seperti rumah PERKEP, pusat sumber, bilik rekreasi, bilik mesyuarat, dan ruang pejabat (17).

