
KOTA KINABALU – Astra Harmonix Ensemble dari Sekolah Kebangsaan (SK) Stella Maris (M), Kota Kinabalu, meraih naib johan Yamaha Music Times Keyboard pada Festival Rancak Seni (FERAS) 2026 Peringkat Kebangsaan.
Guru Besar SK Stella Maris (M), James Johnny berkata, pencapaian itu membuktikan kesungguhan, disiplin, semangat berpasukan dan latihan berterusan mampu membawa murid mencapai kejayaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih pasukan, Angela Ho dan Kathleen Sugai, atas komitmen serta dedikasi mereka dalam membimbing dan menggilap bakat murid.
“Kejayaan itu turut didorong sokongan ibu bapa yang sentiasa memberikan dorongan serta pengorbanan masa bagi membantu anak-anak mencapai kecemerlangan.
“Astra Harmonix Ensemble dianggotai 10 murid yang menjalani latihan berterusan sebelum mempersembahkan bakat mereka di peringkat kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.
Tambahnya, pencapaian itu bukan sahaja membuktikan potensi murid dalam bidang muzik, malah mencerminkan kepentingan disiplin, kerjasama dan keyakinan diri dalam membentuk generasi yang berani serta berdikari.
James berharap kejayaan itu menjadi pembakar semangat kepada murid untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan lebih tinggi pada masa hadapan.


