PUTRAJAYA – Kerjasama politik yang tidak berteraskan kesepakatan mengenai hala tuju dan kepimpinan negara hanya berisiko menjadi pakatan sementara, semata-mata mahu merebut kuasa memimpin Putrajaya.
Itu persoalan yang dibangkitkan terhadap kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pas apabila kedua-dua parti disifatkan lebih disatukan oleh hasrat menumbangkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding berasaskan kesepakatan politik yang kukuh
Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil berkata, perbezaan kepentingan antara UMNO dan Pas menyukarkan kedua-dua parti mencapai kesepakatan, terutama dalam menentukan calon Perdana Menteri.
Beliau yang juva Pensyarah Program Sains Politik UKM berkata, ini kerana Pas berdepan cabaran menampilkan calon Perdana Menteri yang boleh diterima semua kaum manakala calon daripada UMNO pula berdepan isu rasuah.
“Kalau Pas pun setuju dengan calon yang ada terpalit dengan rasuah daripada UMNO, mereka sebenarnya pun tak boleh terima.
“Pas juga sebenarnya tidak ada calon yang layak untuk menjadi Perdana Menteri, maksud calon yang layak itu calon yang boleh diterima oleh pelbagai kaum bukan hanya kaum Melayu, Islam tetapi semua kaum boleh diterima,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.
Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan rundingan dengan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sudah dimuktamadkan.
Beliau berkata, BN akan bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pas bersama rakan sekutunya akan bertanding di baki tujuh kerusi dan BN akan mengumumkan calon pada 24 Oktober ini.
Dalam pada itu, Jamaie menegaskan, calon yang hanya bergantung kepada sokongan Melayu dan Islam juga menimbulkan persoalan mengenai penerimaan masyarakat berbilang kaum, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, perbezaan kepentingan antara kedua-dua parti juga berpotensi mencetuskan pertikaian sekiranya mereka berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), terutama apabila perlu menentukan pihak yang berhak menerajui kerajaan.

“Sebab antara kedua parti ini mereka tak pernah setuju untuk siapa yang akan menjadi Perdana Menteri. Bagi Pas, mereka nak jadi Perdana Menteri, bagi UMNO mereka tak akan bagi kepada Pas untuk jadi Perdana Menteri.
“Jadi dari sini rakyat kena menilailah bahawa ini bukan penyatuan ummah tetapi ini adalah satu kerjasama untuk menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan demi untuk melihat kerajaan Anwar Ibrahim ini tumbang,” katanya.
Tambahya, Pas dan UMNO masing-masing mempunyai kepentingan tersendiri, sekali gus menyukarkan kedua-duanya mencapai persetujuan mengenai individu yang bakal menerajui kerajaan.
“Jadi sebenarnya calon itu tidak ada dan mereka seolah-olah melengahkan masa untuk mengumumkan apabila terdesak nanti tetapi sebenarnya calon itu tidak ada.
“Perkembangan itu menunjukkan kerjasama berkenaan lebih tertumpu kepada usaha menumbangkan kerajaan sedia ada berbanding menampilkan calon yang dipersetujui bersama,” katanya.
Justeru, Jamaie berpandangan rakyat perlu menilai prestasi pentadbiran Anwar, termasuk usaha memperkukuh tadbir urus dan memerangi rasuah, sebelum memutuskan sama ada kerajaan sedia ada wajar digantikan.
Beliau berpandangan, keperluan untuk Menteri Kewangan itu diberikan peluang dalam memimpin kerajaan susulan pelbagai tindakan telah dilaksanakan Perdana Menteri bagi memastikan Malaysia disegani seantero dunia.
“Kalau betul nak digantikan, siapa calonnya? Kalau daripada Pas, siapa? Kalau daripada UMNO, siapa?
“Oleh kerana kedua-dua parti ini tak ada calon lain, pada pandangan saya eloklah Anwar terus dicalonkan oleh rakyat untuk menjadi Perdana Menteri satu penggal ke depan,” katanya.


