
SRI AMAN – Seramai 50 peserta terdiri daripada golongan belia, suri rumah, ibu tunggal dan petani berjaya menamatkan Kursus Pemprosesan Produk Hiliran Berasaskan Nanas 2026 yang bertujuan meningkatkan kemahiran serta membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat.
Kursus berkenaan merupakan usaha memperkasa masyarakat melalui pembangunan kemahiran praktikal, selain membantu peserta memanfaatkan sumber pertanian tempatan khususnya nanas untuk menghasilkan produk bernilai tambah.
Pengerusi Sri Aman Development Agency (SADA) Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kesediaan peserta meluangkan masa menimba ilmu adalah langkah penting dalam meningkatkan kemahiran serta membuka peluang baharu untuk diri dan keluarga.
“Pembangunan sesebuah kawasan perlu disertai usaha memperkasa penduduk supaya mereka dapat mengambil bahagian dalam kegiatan ekonomi serta menikmati manfaat pembangunan secara lebih menyeluruh,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutupan kursus tersebut, hari ini.

Menurutnya, program seperti itu memberi peluang kepada masyarakat untuk memanfaatkan hasil pertanian tempatan secara lebih kreatif dan produktif, khususnya melalui penghasilan produk hiliran berasaskan nanas.
“Nanas yang diusahakan oleh petani mempunyai potensi untuk diproses menjadi pelbagai produk bernilai tambah, sekali gus membuka ruang perniagaan kepada penduduk setempat.
“Kemahiran pemprosesan makanan yang diperoleh peserta khususnya golongan suri rumah dan ibu tunggal boleh dimanfaatkan bagi memulakan perniagaan dari rumah, manakala golongan belia pula berpeluang meneroka bidang keusahawanan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kerjasama antara institusi latihan dan agensi berkaitan industri nanas sebagai pendekatan berkesan dalam membantu peserta memperoleh kemahiran praktikal serta memahami potensi produk yang boleh dikembangkan.
Bagi golongan petani, penghasilan produk hiliran mampu membantu mempelbagaikan penggunaan hasil tanaman selain meningkatkan nilai ekonomi hasil pertanian yang diusahakan.
“Selain kemahiran teknikal, kursus berkenaan juga diharap dapat membina keyakinan peserta untuk menghasilkan produk sendiri, berurusan dengan pelanggan serta mengembangkan perniagaan secara berperingkat.
“Inisiatif itu selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan kepada peningkatan pendapatan isi rumah, peluasan peluang ekonomi serta pembangunan modal insan berkemahiran,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan peserta supaya meneruskan latihan selepas tamat kursus dengan memberi perhatian terhadap aspek kebersihan, kualiti, pembungkusan serta pengiraan kos bagi memastikan produk yang dihasilkan mampu dipasarkan dengan lebih baik.
Beliau turut menggalakkan pihak penganjur dan agensi berkaitan menyediakan bimbingan susulan terutama dalam aspek pemasaran dan pembangunan perniagaan bagi membantu peserta mengembangkan hasil usaha mereka.
Kursus Pemprosesan Produk Hiliran Berasaskan Nanas 2026 diharap menjadi pemangkin kepada kelahiran usahawan tempatan yang mampu menghasilkan produk berkualiti serta menyumbang kepada peningkatan ekonomi keluarga dan komuniti Sri Aman.





