
KUCHING – Pelan pembangunan semula Bukit Assek perlu diterjemahkan menerusi pelaksanaan yang tersusun dengan mengambil kira keperluan penduduk khususnya dalam aspek mitigasi banjir, kemudahan infrastruktur dan perancangan bandar jangka panjang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek berkata, projek berkenaan melibatkan kawasan seluas 820 ekar dan berpotensi membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi baharu yang lebih mampan serta berdaya saing di Sibu.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2027 pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Menurutnya, pelan induk projek berkenaan memperoleh kelulusan akhir Pihak Berkuasa Perancangan Sarawak pada 28 Januari 2026, dengan perancangan meliputi pelbagai komponen pembangunan termasuk sistem perparitan, pengangkutan, perumahan, kawasan komersial dan ruang hijau.
Sehubungan itu, pelaksanaan projek perlu disokong perancangan mengikut fasa serta garis masa yang jelas, terutama bagi memastikan penambahbaikan infrastruktur mendesak dan langkah mitigasi banjir diberikan perhatian sewajarnya sepanjang proses pembangunan.
Chieng turut menggesa Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) meneruskan sesi libat urus awam serta mempertimbangkan penyediaan ruang pameran tetap bagi memudahkan penduduk dan pemilik tanah mendapatkan maklumat, memahami perancangan projek serta mengemukakan pandangan mereka.
Beliau yakin komitmen berterusan kerajaan, komunikasi yang telus dan penyertaan masyarakat mampu memastikan pembangunan semula Bukit Assek memberikan manfaat jangka panjang, sekali gus merangsang ekonomi Sibu dan menyediakan persekitaran kehidupan yang lebih baik untuk generasi akan datang.





