TAWAU – Sekolah di seluruh daerah ini akan ditutup bermula esok berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 150 iaitu pada tahap tidak sihat.
Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dalam Kenyataan memaklumkan, keputusan ini merupakan langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan dan keselamatan murid, guru serta seluruh warga sekolah daripada risiko kesan pencemaran udara.
“Sehubungan dengan itu, semua pentadbir sekolah di daerah Tawau diminta mengambil maklum dan mematuhi arahan penutupan ini.
“Ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan supaya memastikan anak-anak berada di tempat yang selamat, mengurangkan aktiviti luar dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa kualiti udara melalui saluran rasmi,” menurut Jabatan Pendidikan Sabah, pada Selasa.

Dalam pada itu, pembukaan semula sekolah tertakluk kepada keadaan kualiti udara semasa serta arahan atau pemakluman rasmi selanjutnya daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
“Jabatan Pendidikan Sabah menzahirkan terima kasih atas kerjasama semua pihak dalam memastikan kesihatan, keselamatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan sentiasa diberikan keutamaan,” ujarnya.





