
KUCHING – Usaha memodenkan pengurusan khazanah sejarah Sarawak menerusi inisiatif pendigitalan dan penubuhan arkib peringatan perlu disokong dengan garis panduan serta tadbir urus yang jelas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, langkah tersebut amat kritikal bagi memastikan bahan bersejarah negeri dapat dipelihara dan dimanfaatkan secara berkesan oleh semua pihak.
Beliau menjelaskan, langkah memperluaskan akses kepada khazanah ilmu menerusi platform digital juga mampu membantu generasi muda mendekati dan memahami sejarah serta warisan negeri dengan lebih mendalam.
“Pembangunan arkib peringatan perlu berganjak daripada konsep penyimpanan tradisional kepada sistem moden yang lebih interaktif dan boleh dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Selasa.
Menurut Royston, kejelasan mengenai skop kuasa dan tanggungjawab pentadbiran adalah sangat penting bagi memastikan pengurusan perpustakaan serta arkib dilaksanakan secara telus dan kebertanggungjawaban.
“Hubungan dasar yang jelas antara kerajaan negeri, menteri dan lembaga pengarah perlu diterjemahkan kepada sistem penyimpanan sejarah yang lebih terpelihara, kemudahan yang mesra pengguna serta perkhidmatan yang benar-benar dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Sarawak,” tegasnya.
Sebagai rekod, Pindaan Ordinan Perpustakaan Negeri Sarawak dibentangkan antara lain bertujuan memperkemas tadbir urus, memperjelas bidang kuasa menteri yang bertanggungjawab, serta membolehkan penubuhan arkib peringatan bagi memelihara bahan berkaitan tokoh, peristiwa, warisan, budaya serta sejarah wilayah ini.
Dalam aspek pendigitalan, Pustaka Negeri Sarawak sememangnya telah melaksanakan beberapa inisiatif proaktif berkaitan pengurusan dan pemeliharaan bahan secara digital.
Antaranya, pembangunan Legal Deposit Management System (LDMS) bagi membantu penerimaan, perekodan, pemeliharaan dan pendokumentasian bahan terbitan Sarawak secara lebih sistematik.
Sehingga Ogos 2026, sebanyak 53,200 naskhah melibatkan 13,320 judul telah selamat diterima oleh Pustaka Negeri Sarawak.
Malah, Pustaka Negeri Sarawak sebelum ini turut menggerakkan program berkaitan pendigitalan bahan arkib bersama institusi pengajian tinggi, yang membuktikan proses pemeliharaan digital kini telah menjadi sebahagian daripada aktiviti teras pengurusan rekod negeri.
Foto: Jabatan Penerangan Sarawak





