Rakyat hargai inisiatif tingkat pendapatan, pendidikan dan tangani kos sara hidup

KUCHING – Pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mendapat perhatian rakyat apabila beberapa inisiatif utama dilihat mampu memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan masyarakat, khususnya dalam aspek bantuan kewangan, pendidikan serta kos sara hidup.

Antara langkah yang mendapat sambutan ialah peningkatan bantuan kepada golongan berpendapatan rendah melalui pengukuhan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain keputusan kerajaan menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan bermula Jun 2027.

Bagi Mira Ibrahim, 26, pengumuman tersebut memberi harapan baharu kepada rakyat yang berdepan cabaran peningkatan kos kehidupan.

“Saya bersyukur kerana kerajaan terus memberi perhatian terhadap kebajikan rakyat melalui peningkatan STR dan SARA. Bantuan seperti ini sangat membantu terutamanya kepada keluarga yang memerlukan untuk menguruskan perbelanjaan harian.”

Beliau turut menyambut baik pelaksanaan kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 kerana langkah itu dilihat mampu meningkatkan kuasa beli pekerja serta membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.

“Kenaikan gaji daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027 adalah satu perkembangan positif kerana ia memberi ruang kepada pekerja menikmati pendapatan yang lebih baik dan kehidupan yang lebih selesa,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Afdal Mohd Sopian, 20, menyifatkan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion bagi kerja-kerja menaik taraf sekolah daif sebagai satu langkah penting dalam memastikan akses pendidikan yang lebih baik, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, masih terdapat banyak sekolah luar bandar dan pedalaman yang memerlukan perhatian dari segi kemudahan asas serta infrastruktur pembelajaran.

“Sebagai rakyat Sarawak, saya melihat usaha menaik taraf sekolah daif ini sangat diperlukan kerana banyak sekolah terutama di kawasan pedalaman masih memerlukan penambahbaikan. Kemudahan yang baik akan memberi keselesaan kepada guru dan pelajar serta membantu meningkatkan kualiti pendidikan,” katanya.

Beliau berkata, pelaburan dalam sektor pendidikan bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar hari ini, malah menjadi asas kepada pembangunan modal insan negara pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Ikhlas Danial Muhamad Hdasila, 20, menyambut baik peningkatan peruntukan bagi program Jualan Rahmah dan Jualan Agro MADANI daripada RM630 juta kepada RM750 juta, yang menurutnya mampu memberi lebih banyak manfaat kepada masyarakat terutama di kawasan luar bandar.

Katanya, pelaksanaan program tersebut membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah berbanding pasaran biasa.

“Bagi masyarakat kampung, seperti kami di Saratok, Jualan Rahmah sangat diperlukan kerana ia dapat meringankan beban perbelanjaan harian. Dengan peningkatan peruntukan ini, saya berharap program tersebut dapat diadakan dengan lebih kerap, bukan sahaja di bandar tetapi juga kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata, peluasan program jualan bersasar seperti itu membuktikan usaha kerajaan untuk memastikan manfaat ekonomi dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.

Secara keseluruhannya, ketiga-tiga responden berpandangan Belanjawan 2027 memberi fokus kepada keperluan rakyat melalui pendekatan meningkatkan pendapatan, memperkukuh pendidikan serta menangani cabaran kos sara hidup.

Mereka berharap segala peruntukan yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan berkesan agar manfaatnya benar-benar sampai kepada golongan sasaran di seluruh negara.

  • Related Posts

    50 projek jalan ladang Sarawak diluluskan, peruntukan RM15.72 juta

    PUTRAJAYA – Sebanyak 50 projek pembaikan dan penyenggaraan jalan ladang sepanjang 116 kilometer (km) diluluskan di Sarawak bagi tempoh 2023 hingga September 2026, membabitkan peruntukan berjumlah RM15.72 juta. Menteri Perladangan…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca
    Penduduk Daro kini nikmati bekalan elektrik 24 jam – Dr Safiee

    KUCHING – Impian penduduk di seluruh kawasan N.43 Daro untuk menikmati bekalan elektrik 24 jam secara stabil kini menjadi kenyataan, sekali gus menjimatkan perbelanjaan bulanan mereka hingga sepuluh kali ganda.…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca

    Perlu dibaca

    KSN mahu reformasi birokrasi dipercepat, RM5.79 juta dijimat menerusi ‘paperless’

    KSN mahu reformasi birokrasi dipercepat, RM5.79 juta dijimat menerusi ‘paperless’

    Belanjawan 2027 perlu dilaksana segera, impak rakyat jadi keutamaan – Shamsul Azri

    Belanjawan 2027  perlu dilaksana segera, impak rakyat jadi keutamaan – Shamsul Azri

    50 projek jalan ladang Sarawak diluluskan, peruntukan RM15.72 juta

    50 projek jalan ladang Sarawak diluluskan, peruntukan RM15.72 juta

    Penduduk Daro kini nikmati bekalan elektrik 24 jam – Dr Safiee

    Penduduk Daro kini nikmati bekalan elektrik 24 jam – Dr Safiee

    Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 bukti kerajaan komited laksana reformasi – PM

    Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 bukti kerajaan komited laksana reformasi – PM

    Mangsa renjatan elektrik melecur 80 peratus

    Mangsa renjatan elektrik melecur 80 peratus