
KOTA KINABALU – Kerajaan negeri disaran menyediakan Rumah Singgah Sementara khusus untuk kanak-kanak pesakit kanser dan penjaga mereka bagi meringankan beban keluarga sepanjang tempoh rawatan.
Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah, Dr Brandon Patrick Senagang berkata, kemudahan itu amat diperlukan, khususnya bagi keluarga dari kawasan pedalaman yang terpaksa tinggal di Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan pakar.
“Unit Onkologi Pediatrik Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah menerima kira-kira 80 hingga 100 kes baharu kanser kanak-kanak setiap tahun.
“Hampir separuh daripada pesakit berkenaan berasal dari luar daerah Kota Kinabalu termasuk Pitas, Kota Marudu dan Kudat.
“Sebahagian besar pesakit didiagnosis menghidap leukemia akut yang memerlukan rawatan intensif dan berpanjangan, malah sesetengahnya perlu menjalani rawatan di Kota Kinabalu sehingga lapan bulan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, pada Selasa.

Menurutnya , keluarga yang tinggal jauh berdepan pelbagai cabaran termasuk mencari penginapan, menanggung kos pengangkutan dan perbelanjaan harian sepanjang tempoh rawatan.
“Keadaan ini turut menyebabkan ibu bapa atau penjaga terpaksa meninggalkan pekerjaan serta ahli keluarga lain untuk memastikan anak mereka mendapat rawatan sewajarnya.
“Beban berkenaan lebih dirasai keluarga berpendapatan rendah dan penduduk pedalaman yang mempunyai sumber kewangan serta kemudahan pengangkutan terhad,” ujarnya.
Tambah Dr Brandon, walaupun Rumah Ronald McDonald di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah membantu menyediakan penginapan, kapasiti kemudahan itu masih belum mencukupi untuk menampung semua keluarga pesakit yang memerlukan tempat tinggal.
“Ini kerana kemudahan berkenaan turut digunakan oleh keluarga pesakit daripada perkhidmatan lain, termasuk pesakit kanser dewasa dan jabatan perubatan lain.
“Sehubungan itu, saya menekankan keperluan menyediakan rumah singgah khas yang selamat, bersih dan mampu milik berhampiran hospital bagi menempatkan kanak-kanak pesakit kanser bersama penjaga mereka.
“Kemudahan ini dapat mengurangkan perjalanan berulang-alik, meringankan tekanan kewangan keluarga dan membantu memastikan rawatan anak mereka dapat diteruskan tanpa masalah penginapan,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, Kerajaan Negeri boleh menerajui usaha berkenaan melalui penyediaan atau penukaran fungsi premis kerajaan sedia ada berhampiran hospital.
“Kerjasama dengan pertubuhan kebajikan, sektor swasta dan rakan strategik lain juga boleh diteroka bagi merealisasikan kemudahan berkenaan.
“Usaha memerangi kanser kanak-kanak bukan hanya tertumpu kepada rawatan perubatan, tetapi turut merangkumi sokongan penginapan bagi memastikan pesakit berpeluang melengkapkan rawatan tanpa mengira jarak tempat tinggal keluarga mereka,” jelasnya.
MMA Sabah turut menyerahkan 20 kit penjagaan kepada pesakit onkologi pediatrik yang baru didiagnosis di Unit Onkologi Pediatrik Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah sempena Bulan Kesedaran Kanser Pediatrik.
Dr Brandon berharap sumbangan itu dapat memberikan keselesaan dan sokongan kepada pesakit serta keluarga mereka ketika memulakan perjalanan rawatan yang panjang dan mencabar.





