
TUARAN – Hampir 5,000 peserta dan penduduk membanjiri Padang Istiadat Tuaran bagi memeriahkan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sabah
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sambutan menggalakkan itu membuktikan rakyat Sabah menyokong program yang dianjurkan kerajaan, khususnya bagi membudayakan amalan bersukan dalam kehidupan seharian.
“Penganjuran Hari Sukan Negara bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan sukan dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
“Kita jadikan ia sebagai amalan kehidupan kita sepanjang masa agar badan kita sihat, rakyat kita sihat.
“Insya-Allah, apabila rakyat sihat, negara dan negeri kita juga dapat berjalan dengan keadaan yang baik dan sejahtera,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sabah 2026,di padang istiadat Tuaran di sini, pada Sabtu.

Tambahnya, menjadi harapan beliau budaya bersukan dapat diamalkan oleh seluruh rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang, agama dan peringkat umur.
“Kehadiran Ketua Menteri pada program ini mencerminkan kepentingan yang diberikan kerajaan negeri terhadap pembudayaan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat,”ujarnya.
Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, melepaskan peserta larian sebagai simbolik perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sabah.






