Dasar pendidikan percuma terus ditambah baik, pelaksanaan secara berperingkat – Adam Adli

USAHA menyediakan pendidikan percuma telah dilaksanakan secara berperingkat termasuk melalui pelupusan hutang masa depan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terhadap 10,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah berdasarkan garis kemiskinan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, beberapa dasar baharu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sudah mula memberi manfaat kepada kelompok yang paling memerlukan, namun pelaksanaannya masih memerlukan penambahbaikan secara berterusan.

“Berpuas hati? Tidak. Sudah tentu ia bukan (polisi) yang sempurna. Malah, tidak ada istilah ‘polisi yang sempurna’.

“Sebab itu semua dasar sentiasa perlu ada penambahbaikan yang berterusan. Cuma saya harap kita boleh lihat bagaimana kita sedang bergerak ke arah yang lebih baik melalui beberapa dasar baharu kementerian,” katanya, pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap hantaran pelakon, Azhar Sulaiman yang menggesa Pakatan Harapan (PH) mempertimbangkan potongan 60 peratus pinjaman PTPTN sekiranya kerajaan masih belum bersedia memansuhkannya.

Dalam pada itu, Adam berkata, kerajaan turut mengecualikan yuran pengajian pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

“Untuk tahun ini sahaja, bentuk pendidikan percuma yang kita inginkan sebenarnya sudah mula dilaksanakan secara berperingkat.

“Kita mulakan dengan melupuskan hutang masa depan PTPTN bagi 10,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah berdasarkan garis kemiskinan. Pada masa yang sama, yuran pengajian bagi pelajar OKU di IPTA juga kini dikecualikan,” katanya.

Adam berkata, beberapa lagi langkah berkaitan agenda pendidikan percuma sudah dibincangkan namun pelaksanaannya perlu dilakukan secara berperingkat dan mengambil kira kemampuan untuk dilaksanakan.

“Ada beberapa langkah lain yang telah dibincangkan secara panjang lebar. Mungkin belum sampai ke tahap yang kita harapkan sepenuhnya, dan bukan semuanya dapat dilaksanakan serta-merta.

“Tapi secara ringkasnya, kita sudah bermula dengan kelompok yang paling memerlukan. Beban hutang masa hadapan mereka diselesaikan,” tambahnya.

Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan pelajar terbabit meneruskan dan menamatkan pengajian tanpa menanggung hutang baharu sekali gus mengurangkan risiko pinjaman pendidikan menjadi tunggakan atau pinjaman tidak berbayar (NPL) pada masa depan.

“Mereka boleh meneruskan dan menamatkan pengajian tanpa menanggung hutang baharu sekali gus menghapuskan risiko pinjaman tersebut menjadi tunggakan atau NPL pada masa hadapan,” katanya.

Adam berkata, manfaat dasar itu bukan hanya membabitkan pelajar baharu sebaliknya turut merangkumi mahasiswa yang sudah berada dalam sistem pendidikan tinggi dan sedang mengikuti pengajian.

“Langkah ini bukan hanya untuk pelajar baharu. Ia turut melibatkan mereka yang sudah berada dalam sistem dan sedang mengikuti pengajian,” katanya.

Tambah beliau, tumpuan seterusnya adalah memastikan dasar yang sudah diperkenalkan dapat dilaksanakan dengan berkesan sebelum akses pendidikan tanpa beban hutang diperluaskan kepada lebih ramai pelajar.

“Yang penting sekarang ialah memastikan langkah ini benar-benar berjalan, kemudian terus berusaha supaya ruang pendidikan tanpa beban hutang ini dapat diperluaskan kepada lebih ramai,” katanya.

Related Posts

KPM tutup institusi pendidikan di kawasan IPU tinggi, PdPR bermula Jumaat

KUALA LUMPUR — Kementerian Pendidikan (KPM) akan menutup institusi pendidikannya di kawasan yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 180 mulai Jumaat, 9 Oktober, susulan keadaan jerebu yang boleh…

Lebih lanjut

teruskan membaca
MCMC terima aduan kandungan seksual AI babit pelajar, guru

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima aduan berhubung penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menghasilkan dan menyebarkan gambar serta video berunsur seksual yang didakwa membabitkan pelajar dan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Belanjawan 2027: Bekalan air konsisten penting, sokong pembangunan ekonomi Sabah – Kartini

  • By Ezmie
  • October 8, 2026
Belanjawan 2027: Bekalan air konsisten penting, sokong pembangunan ekonomi Sabah – Kartini

Pahang sedia 60 peranti al-Quran Braille untuk OKU penglihatan

Pahang sedia 60 peranti al-Quran Braille untuk OKU penglihatan

Tular video merusuh guna senjata, polis tahan 14 remaja lelaki

  • By Fatin
  • October 8, 2026
Tular video merusuh guna senjata, polis tahan 14 remaja lelaki

KPM tutup institusi pendidikan di kawasan IPU tinggi, PdPR bermula Jumaat

KPM tutup institusi pendidikan di kawasan IPU tinggi, PdPR bermula Jumaat

MCMC terima aduan kandungan seksual AI babit pelajar, guru

MCMC terima aduan kandungan seksual AI babit pelajar, guru

Pulau Pinang kembali jerebu cecah IPU 155

Pulau Pinang kembali jerebu cecah IPU 155