
KUNAK – Seorang lelaki dan seorang wanita berstatus isteri orang dicekup penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Kunak kerana disyaki berkhalwat di dalam sebuah kenderaan, pada Jumaat.
JHEAINS Kunak memaklumkan, kedua-dua individu berkenaan kemudian dibawa untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang syariah yang berkuat kuasa.
“Operasi pada Jumaat itu mendapati wanita terbabit merupakan isteri orang,” menurut JHEAINS Kunak.
Sehubungan itu, JHEAINS mengingatkan orang ramai supaya menjaga batas pergaulan dan mengelakkan perbuatan yang boleh membawa kepada fitnah serta kemudaratan kepada keluarga dan masyarakat.
Masyarakat juga diingatkan agar menjaga keharmonian institusi keluarga masing-masing.






