PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua program melibatkan seorang penceramah bebas dihentikan serta-merta susulan beberapa dakwaan serius yang sedang tular di media sosial.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, beliau mengambil maklum dakwaan berkenaan yang melibatkan seorang penceramah bebas yang pernah mengendalikan program bersama murid di sekolah.
Menurutnya, dakwaan itu dipandang serius kerana membabitkan aspek keselamatan serta perlindungan murid.
“Saya telah meminta Kementerian Pendidikan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara ini.
“Buat masa sekarang, saya telah mengarahkan semua program melibatkan penceramah bebas berkenaan dihentikan serta-merta bagi memberi ruang kepada siasatan penuh dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadhlina turut menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membuat laporan polis.
Katanya, laporan kepada pihak berkuasa penting bagi memastikan kanak-kanak mendapat perlindungan dan sokongan sewajarnya.
“Keselamatan murid mesti dipandang serius dan diteliti. Keselamatan anak-anak di bawah jagaan kita tidak boleh dikompromi,” katanya.
Kenyataan itu dibuat susulan tular satu video di platform Threads menerusi akaun capricedaddy yang mendakwa seorang penceramah motivasi melakukan perbuatan tidak wajar terhadap seorang pelajar perempuan.
Dalam video berkenaan, seorang gadis mendakwa perkara itu bermula selepas lelaki tersebut menghadiri sebuah program motivasi di sebuah sekolah di Perlis ketika dia berusia 16 tahun.
Menurut gadis itu, lelaki berkenaan mendapatkan nombor telefonnya sebelum kerap menghubunginya untuk bertanyakan keadaan serta memintanya menjadi adik angkat.
“Dia juga meminta saya menjadi adik angkat kerana keluarganya tidak mempunyai adik-beradik perempuan dan turut menghantar gambar ahli keluarganya kepada saya.
“Dia juga pernah bertanyakan saya memakai baju warna apa selain mengajak saya keluar berdua ke sebuah pusat beli-belah di Alor Setar, Kedah,” dakwanya.

Gadis dalam video itu turut menyeru pelajar lain yang pernah berdepan situasi sama supaya tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.




