
LUMUT – Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang daripada 15 batu nautika dari pantai atau pulau, selain tiga kru warga Myanmar dipercayai melakukan kesalahan Imigresen dalam kejadian pada Ahad.
Vesel berkenaan ditahan kira-kira jam 3 petang pada kedudukan 4.07 batu nautika barat laut Pulau Nipis, Perak, ketika sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, operasi itu dijalankan kapal ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Sayong, Op Khas Tanjung 2 dan Op Tiris di perairan negeri berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati vesel terbabit dikendalikan seorang tekong warga Malaysia bersama tiga kru warga Myanmar berusia antara 35 hingga 54 tahun.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh seorang tekong warga Malaysia bersama tiga kru warga Myanmar berusia antara 35 hingga 54 tahun.
“Semakan lanjut mendapati vesel berkenaan disyaki melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan pada jarak kurang 15 batu nautika dari pantai atau pulau,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, ketiga-tiga kru warga Myanmar itu turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan.
Kesemua individu terbabit ditahan bagi membantu siasatan, manakala vesel, hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan turut dirampas.
Kesemua rampasan kemudian dibawa ke jeti Maritim Malaysia sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut.
Mohamad Shukri berkata, Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan serta operasi penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan syarat pelesenan perikanan.
Katanya, langkah itu penting bagi memelihara kelestarian sumber perikanan selain memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terjamin.
Foto: Maritim Malaysia






