
BETONG – Program Sarawakku Sayang Bahagian Betong yang berlangsung selama tiga hari di Kompleks Sukan Betong berjaya menarik seramai 97,225 pengunjung.
Program berkenaan turut menghimpunkan 48 agensi yang menawarkan sebanyak 158 perkhidmatan, sekali gus menjadi platform mendekatkan perkhidmatan kerajaan dengan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu, berkata penganjuran program itu turut mengetengahkan pelbagai produk, budaya serta aktiviti komuniti tempatan.
Menurutnya, penglibatan pelbagai agensi dalam program berkenaan memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat dan perkhidmatan kerajaan secara lebih dekat.
Kemuncak program turut menyaksikan hadiah utama E-Peraduan berupa sebuah Perodua Bezza dimenangi Naziah Anuar, pengunjung dari Kuching.





