Gagal redakan krisis Negeri Sembilan, UMNO berdepan persepsi utamakan politik

PUTRAJAYA – UMNO berdepan persoalan sama ada kepentingan politik mengatasi tanggungjawabnya terhadap institusi diraja dan adat Negeri Sembilan sekiranya gagal memainkan peranan menyelesaikan kemelut yang dilihat semakin meruncing dalam negeri itu.

Penganalisis sosiopolitik, keselamatan dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata,
UMNO sebagai antara parti utama yang membentuk kerajaan negeri baharu bersama Pas mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pertikaian membabitkan institusi diraja dan adat tidak terus melebar sehingga menjejaskan pentadbiran negeri.

Katanya, UMNO tidak seharusnya membiarkan perkembangan berkenaan berkembang menjadi pertentangan politik, sebaliknya perlu tampil sebagai pengimbang dengan mengembalikan semua pihak kepada kerangka Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan adat Perpatih.

“Pada saya, isu paling besar dalam perkembangan ini bukan sekadar siapa yang betul atau siapa yang salah dari sudut politik, tetapi persoalan tentang konsistensi terhadap institusi dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

“Apabila wujud dua pendirian yang bertentangan dalam pentadbiran negeri, perkara ini sepatutnya diselesaikan melalui kerangka perlembagaan dan undang-undang, bukannya dibiarkan menjadi pertentangan politik yang semakin melebar,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.

Mengulas lanjut, Nur Ashikin berkata,
kegagalan UMNO mengambil peranan sebagai pengimbang berpotensi menimbulkan persepsi bahawa kepentingan politik lebih diutamakan berbanding tanggungjawab parti itu dalam mempertahankan institusi, adat dan perlembagaan negeri.

Menurutnya, perkara itu menjadi lebih penting memandangkan UMNO kini sebahagian daripada kerajaan negeri baharu yang turut membabitkan Pas, sekali gus meletakkan parti itu pada kedudukan untuk membantu meredakan kemelut, bukannya dilihat memihak kepada mana-mana pihak.

“UMNO mempunyai sejarah dan kedudukan yang sangat besar dalam politik Negeri Sembilan. Sebab itu parti ini mempunyai tanggungjawab moral dan politik untuk menjadi jambatan antara institusi Yang di-Pertuan Besar dengan Undang Yang Empat, bukannya dilihat menyebelahi mana-mana pihak.

“Dalam keadaan sekarang, UMNO sepatutnya menyeru semua pihak kembali kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, menghormati institusi diraja dan adat Perpatih serta memastikan pentadbiran negeri tidak terjejas,” katanya.

Beliau berkata, UMNO juga perlu menjelaskan pendiriannya secara konsisten berhubung kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar, khususnya apabila berlaku pertikaian berkaitan keputusan Baginda dan pendirian kerajaan negeri.

Jelas Nur Ashikin, UMNO sebelum ini menyatakan kedudukan Yang di-Pertuan Besar perlu dilihat berdasarkan adat, prerogatif dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan, justeru prinsip sama perlu diteruskan apabila berlaku pertikaian membabitkan institusi berkenaan.

“Persoalannya sekarang, apabila berlaku pertikaian melibatkan Tuanku Muhriz, apakah prinsip yang sama masih menjadi pegangan?

“Jika Tuanku Muhriz masih diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah, maka UMNO perlu menjelaskan dengan konsisten pendirian parti terhadap titah dan keputusan yang dibuat oleh Baginda,” katanya.

Mengulas pendirian UMNO yang dilihat lebih dekat dengan tafsiran atau pendirian Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, Nur Ashikin berkata, parti itu perlu menjelaskan asas pendirian berkenaan supaya tidak menimbulkan persepsi bahawa ia memilih satu pihak dalam kemelut institusi dan adat yang berlaku.

“Apabila UMNO mengambil pendirian yang dilihat lebih dekat dengan tafsiran atau pendirian Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, rakyat berhak bertanya apakah asas pendirian tersebut dan bagaimana ia selari dengan kedudukan Tuanku Muhriz yang masih diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar.

“UMNO perlu berhati-hati supaya pendirian politiknya tidak dilihat sebagai memilih satu pihak dalam pertikaian institusi yang sepatutnya diselesaikan melalui adat dan perlembagaan,” katanya.

Nur Ashikin berkata, dalam keadaan kemelut institusi diraja dan adat dilihat semakin keruh, UMNO mempunyai ruang untuk memainkan peranan sebagai jambatan bagi merapatkan jurang antara pihak yang bertelagah.

“UMNO tidak sepatutnya menjadi pihak yang menambah jurang. UMNO sepatutnya menjadi pihak yang merapatkan jurang.

“Jika parti itu gagal memainkan peranan tersebut, ia akan menimbulkan persoalan sama ada kepentingan politik telah mengatasi tanggungjawabnya sebagai salah satu institusi politik utama Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata, penyelesaian kemelut berkenaan perlu mengutamakan kelangsungan institusi, adat dan pentadbiran negeri, bukannya kepentingan mana-mana parti atau kelompok politik.

“Jika kemelut ini terus dibiarkan tanpa penyelesaian yang jelas, bukan sahaja hubungan antara institusi boleh terjejas, malah keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan negeri mengurus isu berkaitan adat dan perlembagaan juga boleh dipersoalkan,” katanya.

Related Posts

Siasatan segera laporan, aduan sakit perut, cirit-birit – Suryady

TAWAU – Jabatan Kesihatan dan agensi berkaitan diseru menjalankan pemeriksaan serta siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti aduan orang ramai berhubung beberapa kes sakit perut, muntah dan cirit-birit sejak beberapa…

Lebih lanjut

teruskan membaca
SKS Mukah pecah rekod: Tawar 170 perkhidmatan, hadiah utama Proton Saga MC3

MUKAH – Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Mukah bakal menghimpunkan 50 agensi kerajaan, badan berkanun dan rakan strategik yang menawarkan 170 perkhidmatan kepada masyarakat sepanjang penganjurannya di Dataran Pehin…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Siasatan segera laporan, aduan sakit perut, cirit-birit – Suryady

  • By Fatin
  • September 28, 2026
Siasatan segera laporan, aduan sakit perut, cirit-birit – Suryady

SKS Mukah pecah rekod: Tawar 170 perkhidmatan, hadiah utama Proton Saga MC3

SKS Mukah pecah rekod: Tawar 170 perkhidmatan, hadiah utama Proton Saga MC3

Anwar, Wan Azizah beri penghormatan terakhir kepada Tun Dr Siti Hasmah

Anwar, Wan Azizah beri penghormatan terakhir kepada Tun Dr Siti Hasmah

Langgar syarat lesen, sebuah vesel serta tiga kru Myanmar ditahan

Langgar syarat lesen, sebuah vesel serta tiga kru Myanmar ditahan

Mekanik direman, siasatan kes bayi dalam loker asrama diperluas

Mekanik direman, siasatan kes bayi dalam loker asrama diperluas

Pasport Malaysia melonjak ke tangga kedua dunia

Pasport Malaysia melonjak ke tangga kedua dunia