
KUALA PERLIS – Pusat Pembelajaran Berasaskan Komuniti (CLBC) Kampung Seberang Ramai menerima kunjungan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena program Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli di sini petang semalam.
Keberangkatan baginda turut diiringi Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.
Dalam kunjungan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan meninjau aktiviti kelas tuisyen Bahasa Inggeris yang sedang berlangsung melibatkan pelajar daripada komuniti setempat.
Para pelajar turut mengikuti sesi pembelajaran dan ceramah berkaitan pencegahan buli, pengenalpastian maklumat palsu serta keselamatan siber.
Pengisian berkenaan bertujuan memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak dan pelajar mengenai kepentingan melindungi diri ketika berada dalam persekitaran digital.
Ceramah berkaitan Keselamatan Pengguna dan Integriti Rangkaian Komunikasi Negara pula memberi penekanan terhadap penggunaan kemudahan komunikasi secara selamat, beretika dan bertanggungjawab.
Ia termasuk meningkatkan kewaspadaan terhadap penipuan dalam talian, kandungan berbahaya serta pelbagai bentuk ancaman siber.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Noor Azman Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Kunjungan itu merupakan sebahagian daripada pengisian Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai yang memberi peluang kepada peserta mendekati komuniti serta mengenali keunikan identiti dan warisan tempatan.
Fahmi turut meluangkan masa menyusuri beberapa lokasi menarik di kawasan berkenaan antaranya Laman Congkak, Laman Bunga Kertas, Laman Laksa, Rumah Dodol dan Jambatan Tuanku Syed Putra.
Pada program sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang Dipertua MAIPs berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada tiga penerima asnaf terpilih sempena Kayuhan MAIPs Peduli edisi ke-68 bagi tahun 2026.
Penerima terbabit ialah Idrus Remli, 62, dari Taman Wai Permai; Salmiah Hamzah, 73, dari Kampung Seberang Alor, Kuala Perlis dan Rusnani Khamis, 63, dari Kampung Wai.
Kayuhan MAIPs Peduli merupakan antara inisiatif rutin MAIPs dalam mendekati masyarakat secara langsung, menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf yang memerlukan serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.




