
PAPAR – Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) merekodkan 31,849,641 transaksi bagi tempoh 1 Januari hingga 23 September lalu, selepas jumlah transaksi program itu menunjukkan peningkatan ketara sejak diperkenalkan pada 2023.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, secara keseluruhan sebanyak 81,455,623 transaksi direkodkan menerusi PJRM dari Januari 2023 hingga 23 September tahun ini.
”Sebanyak 9,244,504 transaksi direkodkan pada 2023 sebelum meningkat kepada 12,826,708 transaksi pada 2024.
“Melalui pertambahan peruntukan yang disalurkan kepada KPDN, kehadiran rakyat dalam PJRM jauh meningkat dengan mencapai 27,534,770 transaksi pada tahun 2025.
“Jumlah itu terus melonjak kepada 31,849,641 transaksi bagi tempoh 1 Januari hingga 23 September 2026,” ujarnya dalam kenyataan media selepas merasmian Majlis Selawat dan Tadabbur Syukbah Wanita Parlimen Papar, di sini, pada Ahad.
Menurut Armizan, peningkatan berterusan itu berlaku seiring usaha kerajaan memperluaskan pelaksanaan dan akses rakyat kepada program berkenaan.
Tambahnya, PJRM yang dirintis sebagai program jualan murah di bawah agenda Payung RAHMAH pada 2023 diperkasakan mulai 2024 sebagai program tetap kerajaan dengan peruntukan khusus.
Program itu menawarkan barangan keperluan harian pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.



