
KOTA KINABALU- Pembangunan infrastruktur pengangkutan di Sabah masih menjadi antara keutamaan Kerajaan MADANI, khususnya dalam usaha merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dengan Semenanjung.
Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Ahmad Farid Sainuri berkata, perbandingan nilai projek infrastruktur Pulau Pinang dengan peruntukan penyelenggaraan jalan Sabah perlu dibuat secara adil kerana projek berskala besar seperti LRT Pulau Pinang dilaksanakan secara berperingkat untuk tempoh beberapa tahun.
Menurut Farid, belanjawan 2026 turut menyenaraikan projek infrastruktur lebuh raya di Sabah dan Sarawak bernilai keseluruhan RM48 bilion, termasuk Pan Borneo Sabah Fasa 1A dan 1B bernilai RM15.9 bilion, Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 1 dan 2 sebanyak RM8.81 bilion serta Lebuhraya Trans Borneo bernilai RM2.99 bilion.
“Kalau kita mahu memasukkan keseluruhan nilai LRT Pulau Pinang dalam perbandingan, maka kita juga mesti memasukkan keseluruhan nilai projek mega yang sedang dilaksanakan di Sabah.
“Pembangunan pengangkutan Sabah turut meliputi sektor penerbangan dengan projek menaik taraf Lapangan Terbang Tawau bernilai RM120.9 juta, manakala pembangunan KKIA juga menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh infrastruktur penerbangan negeri.
“Keperluan infrastruktur Sabah berbeza berikutan keluasan wilayah dan cabaran geografinya, justeru tumpuan perlu diberikan kepada Pan Borneo, jalan luar bandar, jalan perhubungan antara daerah serta infrastruktur asas,” ujarnya dalam satu kenyataan media di sini pada Ahad.
Dalam perkembangan Pan Borneo Sabah, kemajuan Fasa 1A dilaporkan menghampiri 88 peratus setakat April 2026, manakala Fasa 1B sedang dilaksanakan secara berperingkat.
“Sabah masih mendapat perhatian dan keutamaan Kerajaan MADANI. Tugas kita sekarang ialah memastikan setiap peruntukan dan projek itu dilaksanakan dengan lebih pantas dan sampai manfaatnya kepada rakyat.
“Saya berharap Kerajaan Persekutuan terus mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur di Sabah, khususnya Pan Borneo dan jaringan jalan raya luar bandar, supaya manfaat pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat serta jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung dapat terus dirapatkan,” tegasnya.
Terdahulu, Ketua Penerangan PAS Sabah, Mustaman Mustain mempersoalkan keutamaan Kerajaan Persekutuan dalam pembangunan infrastruktur pengangkutan susulan kelulusan projek bernilai lebih RM21 bilion di Pulau Pinang ketika Sabah masih berdepan keperluan penyelenggaraan jalan dan kelewatan projek Lebuhraya Pan Borneo.
Mustaman dilaporkan berkata, PAS Sabah tidak mempertikaikan hak Pulau Pinang menerima pembangunan, namun mahu Kerajaan Persekutuan memberi perhatian sewajarnya terhadap keperluan infrastruktur pengangkutan asas di Sabah, khususnya jaringan jalan raya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada peruntukan penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Sabah mencukupi mengambil kira keluasan jaringan jalan raya, bentuk muka bumi mencabar dan taburan penduduk, selain menggesa agenda merapatkan jurang pembangunan diterjemahkan kepada hasil yang dapat dirasai rakyat.




