
SANDAKAN – Program Hari Cuci Malaysia 2026 perlu dilaksanakan secara lebih kerap bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan persekitaran, khususnya kawasan parit dan saliran awam.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya pelaksanaan program berkenaan berikutan masalah pencemaran sampah yang masih berlaku di pelbagai kawasan di Sandakan.
“Bukan hanya di bandar tetapi di semua kawasan perumahan. Jadi, beberapa bulan lalu kami juga bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dengan mengupah pekerja untuk membantu membersihkan paip-paip kumbahan yang tersumbat.
“Kami dimaklumkan terdapat banyak sampah dan minyak bertakung di dalam paip sehingga menyebabkan sebahagian paip pembentungan serta saluran parit tidak dapat digunakan atau berfungsi dengan baik,” ujarnya kepada media pada program Hari Cuci Malaysia 2026 Peringkat Daerah Sandakan di Dataran Harbour Square, di sini pada Sabtu.

Menurut Vivian, program seperti Hari Cuci Malaysia penting untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai pengurusan barangan buangan termasuk plastik dan minyak masak terpakai.
“Barangan plastik dan bahan buangan, termasuk minyak yang telah digunakan, sebenarnya boleh dikumpul dan dijual untuk menjana pendapatan.
“Secara tidak langsung, usaha ini dapat mengurangkan kos kerajaan untuk membaiki dan menyelenggara paip yang tersumbat atau rosak akibat pembuangan sampah,” katanya.
Dalam pada itu, Vivian berharap program berkenaan dapat diperkasakan dengan penglibatan lebih banyak agensi dan tidak hanya dilaksanakan setahun sekali.
“Kalau mengikut impian saya, program seperti hari ini bukan dijalankan satu hari sahaja tetapi setiap bulan, setiap minggu atau kalau boleh setiap hari.
“Kesedaran sivik perlu diperingatkan dan pendidikan kepada masyarakat perlu dilakukan secara berterusan kerana ia adalah proses yang panjang,” katanya.

Tambahnya, masyarakat juga perlu dididik mengenai cara pengurusan sampah yang betul termasuk penggunaan tong sampah dan kesan pembuangan sampah ke dalam parit.
“Apabila sampah dibuang ke dalam parit, ia boleh menyebabkan air bertakung dan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
“Ketika hujan lebat atau hujan kilat pula, saliran yang tersumbat boleh menyumbang kepada kejadian banjir.
“Apabila berlaku banjir, kerosakan kepada rumah dan harta benda akhirnya perlu ditanggung oleh penduduk sendiri. Jadi, amat penting untuk kita semua menjaga kebersihan persekitaran, terutama parit-parit awam,” katanya.

