
NILAI – Program MADANI Kita (PMK) bersama komuniti Labu@Rasah memudahkan penduduk mendapatkan pemeriksaan pergigian secara percuma, selain memberi pendedahan mengenai penjagaan kesihatan mulut.
Perkhidmatan pergigian yang dikelolakan oleh Bahagian Pergigian Klinik Kesihatan Lenggeng, hari ini.
Pekerja swasta, Zulhasnan Zultaufik, 42, berkata, kehadiran perkhidmatan pergigian secara terus ke lokasi program memudahkannya membawa anak-anak mendapatkan pemeriksaan.
“Saya bawa anak-anak datang untuk pemeriksaan gigi. Biasanya kalau nak buat pemeriksaan, kita perlu pergi ke klinik pergigian, tetapi kali ini klinik pergigian datang terus kepada masyarakat.

“Saya harap program seperti ini dapat diadakan lagi kerana memudahkan ibu bapa membawa anak-anak mendapatkan pemeriksaan pergigian,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Sabtu.
Sementara itu, Pegawai Pergigian, Dr Nurhanis Farina Murad berkata, perkhidmatan pergigian yang disediakan menerusi PMK mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.
Katanya, kira-kira 200 orang hadir ke kaunter perkhidmatan pergigian orang memanfaatkan pemeriksaan pergigian percuma yang disediakan.
“Program hari ini menawarkan pemeriksaan pergigian dan perkongsian maklumat berkaitan kesihatan pergigian yang memberi manfaat kepada pengunjung.
“Yang paling menarik, pemeriksaan ini ditawarkan secara percuma dan pengunjung juga mendapat maklumat mengenai rawatan yang mereka perlukan,” katanya.
Dr Nurhanis berkata, orang ramai yang mendapatkan pemeriksaan turut berpuas hati kerana berpeluang mengetahui dengan lebih lanjut mengenai perkhidmatan pergigian yang disediakan di klinik kerajaan.

Beliau berkata, program seumpama itu penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan pergigian serta mendapatkan pemeriksaan secara berkala.
“Orang awam perlu mengetahui maklumat berkaitan kesihatan pergigian dan perkhidmatan yang disediakan di klinik kerajaan.
“Saya juga ingin mengingatkan orang ramai supaya membuat pemeriksaan gigi sekurang-kurangnya sekali setahun,” katanya.




