
KOTA KINABALU – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keselamatan dan kedaulatan negara menerusi pelaksanaan inisiatif Literasi Pertahanan Nasional yang menekankan kepentingan penyertaan seluruh lapisan masyarakat dalam mempertahankan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif berkenaan merupakan antara usaha kementerian untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai peranan masing-masing dalam mendepani persekitaran keselamatan semasa.
“Program Bicara Literasi Pertahanan Nasional yang berlangsung sempena majlis itu turut menghimpunkan hampir 700 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Peserta terdiri daripada kakitangan perkhidmatan awam Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan, pelajar serta pendidik institusi pendidikan, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan veteran ATM.
“Program ini menampilkan dua pengisian utama iaitu Bicara Ancaman Kognitif dan Bicara Pahlawan Negara,” katanya dalam satu kenyataan media sempena Majlis Peluncuran Literasi Pertahanan Nasional di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, pada Sabtu
Tambahnya, pelaksanaan program berkenaan selaras dengan aspirasi Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang menggariskan pertahanan negara sebagai tanggungjawab bersama melalui penyertaan aktif seluruh lapisan masyarakat.
“Pendekatan ini diterjemahkan menerusi konsep Whole-of-Government and Whole-of-Society (WoGoS) yang melibatkan pelbagai pemegang taruh termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan, industri, pertubuhan masyarakat sivil, media dan komuniti.
“Literasi Pertahanan Nasional merupakan inisiatif MINDEF yang diterajui Malaysian Institute of Defence and Security (MIDAS) dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
“Inisiatif itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai peranan setiap lapisan masyarakat dalam mempertahankan keselamatan serta kedaulatan negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Bicara Ancaman Kognitif yang disampaikan oleh Senior Fellow Bait Al-Amanah, Daud Mat Din, memberi tumpuan kepada dimensi ancaman terhadap pemikiran dan persepsi masyarakat dalam persekitaran keselamatan semasa.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Azhan Md Othman; Ketua Eksekutif MIDAS, Laksdya Datuk Yusne Mokhtar; Setiausaha Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Awang Shaminan Datuk Awang Ashaari; dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah, Datuk Yahya Sulaiman.
Hadir sama pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan ATM serta wakil agensi dan institusi yang terlibat.


