HANGZHOU – Malaysia merekodkan potensi pelaburan bernilai lebih RM28 bilion hasil lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Shanghai dan Hangzhou, China yang berakhir hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, potensi pelaburan itu diraih menerusi perbincangan bersama 26 syarikat, termasuk lima syarikat gergasi China.
Katanya, syarikat terbabit memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pelaburan dalam sektor berimpak tinggi yang mampu memperkukuh rantaian nilai industri negara.
“Menerusi sesi perbincangan meja bulat perniagaan, syarikat terkemuka China memberi tumpuan kepada usaha melonjakkan pelaburan dalam sektor berimpak tinggi yang mampu memperkukuh rantaian nilai industri negara.
“Antara sektor dikenal pasti mempunyai potensi besar termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), robotik, kenderaan elektrik (EV), bahan bateri, optik termaju, bioteknologi, teknologi kesihatan, peranti perubatan, bahan kimia khusus dan pembuatan termaju,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pavilion Malaysia di Ekspo Perdagangan Digital Global Kelima di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Duta Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad.
Anwar berkata, majoriti syarikat terbabit turut menyatakan komitmen untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia berikutan keyakinan terhadap kestabilan serta dasar yang dilaksanakan kerajaan.
“Golongan peniaga sentiasa melihat perkembangan geopolitik serta hubungan dua hala. Hubungan persahabatan antara Malaysia dan China kini berada pada tahap sangat kukuh dan berkembang secara positif.
“Pemimpin utama China, sama ada Presiden Xi Jinping, Perdana Menteri Li Qiang mahupun barisan menteri, memberikan galakan serta sokongan yang amat membina terhadap pelaburan dua hala,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, sektor perubatan termaju turut berpotensi diterokai dengan lebih mendalam susulan perkembangan teknologi perubatan China, termasuk penggunaan AI dan prosedur pembedahan mikro.
“Saya amat kagum dengan perkembangan teknologi perubatan di sini, khususnya penggunaan AI dan prosedur pembedahan mikro yang berjaya memulihkan penglihatan ribuan pesakit yang mengalami masalah buta atau penglihatan terhad.
“Ini bidang bernilai tinggi yang wajar kita kaji secara mendalam bagi memanfaatkan teknologi terbaik untuk pembangunan negara Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, teknologi berkaitan alam sekitar, kawalan pencemaran dan penyelidikan kaji cuaca turut mempunyai ruang luas untuk kerjasama serta pelaburan dua hala.
Lawatan kerja Anwar ke China turut membabitkan penyertaan Malaysia dalam Pertandingan WorldSkills Shanghai 2026 selain menghadiri Ekspo Perdagangan Digital Global Kelima.Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Kabinet Menteri Republik Kyrgyz, Akylbek Japarov.


