
TAWAU – Laluan sementara jambatan Sungai Tiku Jalan Sin Onn Tiku dibuka kepada pengguna hari ini, sementara menanti pembinaan jambatan baharu yang dijangka siap pada November 2027.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui berkata, jambatan sementara itu sebagai penyelesaian kepada isu kesesakan yang berlaku sejak dua minggu ini di Jalan Apas.
“Jambatan sementara itu juga dibina pada aras lebih tinggi berbanding jambatan terdahulu bagi meningkatkan keupayaan menghadapi keadaan banjir.
“Ia juga mempunyai had muatan sehingga lima tan,” ujarnya kepada media selepas melakukan tinjauan di jambatan berkenaan, pada Jumaat.

Mengulas lanjut mengenai jambatan baharu yang kini dinaiktaraf, Lo yang juga Ahli Parlimen Tawau berkata, jambatan berkenaan menggunakan struktur konkrit dan dibina secara dua hala dengan ‘steel girder’ sepanjang 40 meter.
“Projek baharu itu dibiayai Kerajaan Persekutuan dan merupakan penghubung penting dari kawasan Tiku ke Ranggu sebelum meneruskan perjalanan ke Apas, dengan puluhan ribu pengguna dianggarkan menggunakan laluan itu.
“Dengan perkembangan pembangunan di kawasan Ranggu dan Tiku yang semakin pesat serta melibatkan lebih 100,000 penduduk, jambatan itu dijangka memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran perhubungan di kawasan itu.
“Jadi kita harap jambatan ini akan disiapkan lebih awal supaya boleh membawa lebih manfaat kepada penduduk Tawau,” ujarnya.
Untuk rekod, projek naik taraf Jambatan Sungai Tiku, Sin Onn Tiku bernilai RM7.8 juta itu telah dimulakan sejak Mei tahun ini.



