
KUALA KANGSAR – Dua ahli keluarga kepada seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) yang ditemukan meninggal dunia dengan kesan tusukan di betis di Kampung Chuar Hilir pada petang Rabu, ditahan reman bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Seorang lelaki berusia 44 tahun ditahan reman selama tujuh hari, manakala anak lelakinya yang berusia 15 tahun direman selama dua hari.
Perintah reman terhadap kedua-dua beranak itu dikeluarkan Majistret Azlin Zeti Zainal di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, di sini, pada Khamis.
Suspek berusia 44 tahun tiba di mahkamah kira-kira jam 8.33 pagi, diikuti suspek berusia 15 tahun yang dibawa menaiki van polis.
Tempoh reman itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, media melaporkan dua ahli keluarga mangsa ditahan polis selepas siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan suspek.
Mangsa, Nor Ainon Omar, 49, ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah di Kampung Chuar Hilir yang didiaminya bersama suami dan tiga anak mereka, yang juga berstatus OKU.
Polis turut menemukan sebilah pisau yang disyaki digunakan sebagai senjata dalam kejadian berkenaan.
Foto: Utusan





