Pentadbiran Melaka kekal berjalan hingga kerajaan baharu dibentuk – Ab Rauf

AYER KEROH – Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka akan terus berfungsi seperti biasa walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kesinambungan pentadbiran negeri akan dipastikan sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas PRN, dengan kerjasama semua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), ketua jabatan dan agensi kerajaan.

Beliau berkata, kepentingan serta kebajikan rakyat akan terus menjadi keutamaan dan pembubaran DUN tidak seharusnya menjejaskan penyampaian perkhidmatan awam.

“Saya nak beritahu pentadbiran ini akan diteruskan dan saya amat menghargai keberadaan semua Ahli EXCO dan semua jabatan serta agensi kerajaan yang sudah memberikan kerjasama sepanjang perkhidmatan kami kepada rakyat,” katanya pada sidang media khas pengumuman pembubaran DUN Melaka, di Auditorium Seri Negeri, di sini, hari ini.

Turut hadir Speaker DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, pelbagai kemudahan sudah dibangunkan kerajaan negeri bagi memastikan penyampaian perkhidmatan serta penyelesaian masalah rakyat tidak terhenti sepanjang tempoh pentadbiran sementara.

Katanya, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT), yang menjadi saluran bagi mengenal pasti serta menyelesaikan aduan rakyat.

“Daripada kira-kira 5,000 aduan diterima di seluruh negeri, hampir 80 peratus daripadanya berjaya diselesaikan membabitkan isu kebajikan, kesihatan, sekolah, longkang, lampu dan pelbagai keperluan lain,” katanya.

Menurutnya, baki aduan yang belum diselesaikan sedang diteliti bagi menentukan bentuk bantuan atau tindakan susulan yang bersesuaian, termasuk untuk dibawa ke peringkat Persekutuan jika perlu.

“Selebihnya kita dalam membuat penelitian dan kajian bagaimana untuk disalurkan bantuan, sama ada nanti kita akan mengangkat ke peringkat Persekutuan atau diselesaikan satu persatu mengikut aturan,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, beliau berpuas hati dengan komitmen semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum ini dalam meneruskan khidmat kepada rakyat menerusi konsep Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).

Katanya, usaha mendekati rakyat yang dilaksanakan kerajaan negeri bukan program bermusim atau semata-mata untuk menghadapi pilihan raya, sebaliknya menjadi sebahagian daripada mekanisme pentadbiran.

“Usaha kita dalam siri jelajah WRUR dan HEBAT mengambil masa tiga tahun, bukan baharu sebulan dua atau untuk menghadapi pilihan raya semata-mata.

“Pusingan jelajah berkenaan kita laksanakan bermula daripada DUN yang pertama sehingga terakhir pada siri turun padang terbabit dan ia mengambil masa tiga tahun,” katanya.

Terdahulu, Ab Rauf mengumumkan pembubaran DUN Melaka ke-15 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.

Beliau berkata, Tun Mohd Ali berkenan DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa esok.

“Dengan pembubaran ini esok, maka berakhirlah penggal DUN Melaka dan proses seterusnya akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang serta ketetapan pihak berkuasa yang berkaitan.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka atas perkenan serta kebijaksanaannya dalam melaksanakan fungsi sebagaimana yang diperuntukkan.

“Pada masa sama, saya ingin memberi satu jaminan jelas kepada seluruh rakyat Melaka pembubaran DUN tidak bermakna urusan Kerajaan Negeri terhenti, sebaliknya pentadbiran penyampaian negeri, perkhidmatan awam, urusan kebajikan rakyat, keselamatan serta perkhidmatan harian kerajaan akan terus berjalan seperti biasa,” katanya.

  • Related Posts

    MMKN tiada kuasa gantung tugas SUK, Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan – AGC

    KUALA LUMPUR – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri, kata Jabatan Peguam…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca
    Penggantungan SUK, Penasihat Undang-Undang: AMK Negeri Sembilan mahu penjelasan segera

    ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan menggesa semua pihak menghormati Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta proses perundangan berhubung keputusan penggantungan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohd Zafir…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca

    Perlu dibaca

    MMKN tiada kuasa gantung tugas SUK, Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan – AGC

    MMKN tiada kuasa gantung tugas SUK, Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan – AGC

    Penggantungan SUK, Penasihat Undang-Undang: AMK Negeri Sembilan mahu penjelasan segera

    Penggantungan SUK, Penasihat Undang-Undang: AMK Negeri Sembilan mahu penjelasan segera

    MPNPHNS saran siasatan menyeluruh dakwaan usaha singkir Tuanku Muhriz

    MPNPHNS saran siasatan menyeluruh dakwaan usaha singkir Tuanku Muhriz

    Kecewa cara UMNO urus kemelut Tuanku Muhriz, ketua cawangan letak jawatan

    Kecewa cara UMNO urus kemelut Tuanku Muhriz, ketua cawangan letak jawatan

    Kontinjen Orang Asli tampil memeriahkan sambutan Maulidur Rasul Jengka

    Kontinjen Orang Asli tampil memeriahkan sambutan Maulidur Rasul Jengka

    China Eastern rancang tambah penerbangan Shanghai–Kota Kinabalu hingga tiga kali sehari

    • By Ezmie
    • September 22, 2026
    China Eastern rancang tambah penerbangan Shanghai–Kota Kinabalu hingga tiga kali sehari