
KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia akan mencadangkan mekanisme rasmi kepada Nepal sekiranya operasi mencari 55 rakyat Malaysia yang masih belum ditemui susulan bencana banjir besar di Rasuwa gagal memberikan kepastian mengenai nasib mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mekanisme berkenaan penting bagi membolehkan keluarga mangsa menguruskan urusan undang-undang, kewangan dan pentadbiran sekiranya pencarian tidak membuahkan hasil.
“Saya akan mengutus surat rasmi kepada Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah, bagi memperincikan cadangan ini.
“Perdana Menteri Nepal turut memberi jaminan bahawa usaha pencarian akan diteruskan sedaya upaya, meskipun keadaan di lapangan semakin mencabar,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar berkata, beliau berharap segala usaha yang digerakkan pihak berkuasa Nepal akan memberikan kepastian kepada keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih menantikan berita mengenai insan tersayang.
Beliau berkata, perkara itu dibincangkan dalam perbualan telefon bersama Balendra sebelum berlepas ke China, pagi tadi.
“Bagi pihak rakyat Malaysia, saya menyampaikan rasa simpati dan dukacita kepada kerajaan serta rakyat Nepal atas bencana dahsyat yang melanda negara itu bulan lalu.
“Saya turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Nepal, pihak berkuasa serta pasukan penyelamat yang bekerja keras dalam operasi mencari mangsa, termasuk 55 rakyat Malaysia yang masih belum ditemui,” katanya.
Menurut Anwar, Balendra memaklumkan keadaan di lapangan masih amat rumit berikutan skala bencana dan kemusnahan yang disifatkan seumpama tsunami.
Katanya, beliau turut menyampaikan keresahan serta harapan keluarga rakyat Malaysia yang masih menantikan kepastian mengenai nasib insan tersayang.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, perbualan itu turut menyentuh isu pengambilan pekerja Nepal ke Malaysia, khususnya berhubung peranan ejen.
“Kami senada bahawa proses ini mesti dibersihkan daripada sebarang bentuk eksploitasi dan pengenaan bayaran tidak munasabah yang hanya menguntungkan pihak tertentu.
“Sistem pengambilan pekerja harus telus dan kompetitif serta melindungi hak dan kebajikan pekerja,” katanya.
Anwar berkata, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, bersama rakan sejawatnya di Nepal akan segera mengadakan perbincangan bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung pengambilan pekerja antara kedua-dua negara.
Terdahulu, media melaporkan 55 rakyat Malaysia di Nepal masih gagal dihubungi ahli keluarga masing-masing susulan tragedi banjir besar di Rasuwa.
Kerajaan Nepal turut mengeluarkan senarai 537 warga asing dari lebih 30 negara yang dilaporkan hilang susulan bencana berkenaan.
Daripada jumlah itu, 51 rakyat Malaysia yang dikendalikan empat agensi pelancongan iaitu Leaf Holiday, Fishtail, Dream Tibet Travel and Tour serta Kailash Journeys disenaraikan sebagai individu yang masih belum dapat dikesan.
Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di Nepal turut menyerahkan peralatan, termasuk dron, kepada pasukan penyelamat negara berkenaan bagi membantu operasi pencarian mangsa.




