
PARIS – Presiden FIFA, Gianni Infantino mencadangkan badan bebas memantau proses membuat keputusan badan induk bola sepak dunia itu, dalam langkah yang berpotensi membantunya mendapatkan semula sokongan selepas rancangan pelaburan swasta kontroversi ditarik balik.
“Pertama, saya akan bertanya kepada Majlis sama ada ia mahu melantik pihak luar untuk menjalankan semakan terhadap rangka kerja tadbir urus FIFA ketika ini bagi inisiatif strategik utama dan mengesyorkan penambahbaikan yang berpotensi,” tulis Infantino kepada Majlis FIFA dan semua 211 presiden persatuan anggota dalam surat yang dilihat Reuters.
Dia turut berkata akan mencadangkan rundingan dengan konfederasi, persatuan anggota dan pihak berkepentingan lain bagi memperkukuh proses membuat keputusan FIFA.
Cadangan itu akan meneliti pihak yang mempunyai kuasa dalam inisiatif utama, termasuk peranan presiden, Biro, Majlis dan Kongres, selain kaedah memperbaiki ketelusan serta akauntabiliti.
Infantino menerima tentangan hebat susulan cadangannya untuk menjual pegangan 20 peratus dalam hak komersial FIFA, termasuk Piala Dunia, kepada pelabur swasta.
Rancangan itu dibatalkan pada Julai selepas menerima tentangan dan ancaman boikot, manakala UEFA, Konfederasi Bola Sepak Asia dan CONCACAF selepas itu menggesa perubahan dalam kepimpinan FIFA.
Pihak yang menentang Infantino berdepan kesukaran mencari calon untuk mencabarnya, sedangkan dia akan bertanding bagi pemilihan semula pada Mac di Rabat.
Sumber yang mengetahui perbincangan berkenaan memberitahu Reuters bulan ini bahawa Infantino masih mempunyai undi yang mencukupi untuk menang, menyebabkan pihak lawan memberi tumpuan kepada usaha mengehadkan kuasanya.
Infantino berkata rancangan yang dibatalkan itu mengkaji sama ada penjualan pegangan minoriti dalam sebuah syarikat komersial yang dikawal FIFA boleh mengumpulkan lebih banyak dana untuk pembangunan bola sepak. Menurutnya, ia tidak membabitkan penyerahan kawalan terhadap keputusan berkaitan sukan.
Namun, menurut Infantino, cadangan itu diketahui umum sebelum sempat dibentangkan secara menyeluruh kepada Majlis dan persatuan anggota.


