
SANDAKAN – Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan wakil Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Kuala Lumpur memperkukuh kerjasama dua hala menerusi latihan bersama berkaitan pengurusan kecemasan.
Komander ESSCOM, Datuk Victor B Sanjos, berkata latihan berkenaan membabitkan 30 pegawai dan anggota ESSCOM serta agensi keselamatan, penguat kuasa, perubatan dan badan berkanun bukan kerajaan, selain 11 fasilitator SOFLE dan CSME.
“Latihan yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) itu bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan, pengetahuan serta pengalaman peserta dalam pengurusan risiko kecemasan.
“Ia turut memberi penekanan kepada pengurusan kecemasan membabitkan senario bencana alam dan bantuan kemanusiaan melalui pendekatan teori serta praktikal.
“Selain itu, latihan ini turut memperkukuh koordinasi antara ESSCOM dengan agensi keselamatan, penguat kuasa, perubatan serta badan berkanun dan bukan kerajaan yang beroperasi dalam kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone),” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Victor berkata, latihan berkenaan dilaksanakan dengan jayanya mengikut terma rujukan yang dipersetujui kedua-dua pihak.
“Penganjuran latihan bersama ini secara tidak langsung menyumbang kepada pengukuhan hubungan dan kerjasama dalam bidang keselamatan antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
“Program seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Latihan Medical First Responder (MFR) Exercise itu berlangsung selama lima hari dari 14 hingga 18 September lalu di Sandakan, membabitkan kerjasama Special Operation Forces Liaison Element (SOFLE) dan Civil-Military Support Element (CSME).
Majlis penutupan latihan disempurnakan Brigedier Jeneral Khairuddin Zakaria yang mewakili Komander ESSCOM bersama wakil dan Ketua Jurulatih Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Captain James Blackburn daripada Civil-Military Support Element US Special Forces (CMSE-SF).






