
LIMBANG – Daerah Limbang kini bersedia mengorak langkah transformasinya daripada sekadar sebuah bandar persinggahan sempadan kepada hab perdagangan, pelancongan, dan pelaburan rentas sempadan serantau yang dinamik.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kedudukan geografi strategik daerah itu yang dihimpit oleh Brunei dan Sabah, berserta kekayaan sumber warisan budayanya memberikan kelebihan unik untuk diteroka secara komprehensif.
Beliau menjelaskan bahawa pelan perancangan Limbang kini dipacu melalui potensi penjanaan ekonomi dalam sektor ekopelancongan, pembangunan hab agromakanan dan sekuriti makanan, serta kerancakan aktiviti perdagangan rentas sempadan.
“Limbang boleh menjadi pusat perdagangan, pusat pelancongan dan pusat pelaburan. Jika kita dapat merancang dan melaksanakan rancangan ini dengan sebaik-baiknya, kawasan ini berpotensi menjadi pusat pembangunan ekonomi di rantau ini.
“Kita mempunyai kekuatan dan tanah yang berpotensi untuk dibangunkan,” katanya ketika berucap mewakili Premier Sarawak merasmikan Pesta Limbang 2026 pada Sabtu.
Mengulas mengenai pemangkin transformasi tersebut, Awang Tengah menyifatkan penyiapan projek Waterfront Limbang sepanjang 1.8 kilometer sebagai satu tanda aras baharu kelestarian sosioekonomi tempatan.
Menurut beliau, prasarana rekreasi ikonik itu tidak terhad sebagai ruang awam biasa, sebaliknya dibangunkan secara terancang bagi menyediakan platform kepada pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta belia untuk menjana pendapatan.
Kawasan persekitaran waterfront tersebut juga, jelasnya, berupaya diketengahkan sebagai koridor kebudayaan bagi mempromosikan keunikan makanan tradisional dan produk warisan pelbagai etnik Limbang kepada pelancong luar.
Walaupun mengakui proses transformasi wilayah utara Sarawak itu menuntut masa, beliau merakamkan penghargaan atas sinergi utuh wakil rakyat, ketua masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti dalam memastikan agenda kemajuan daerah itu direalisasikan secara berperingkat.
Pesta Limbang 2026 yang berlangsung meriah bermula 16 hingga 20 September ini menyajikan pelbagai tarikan utama, khususnya acara sukan air berprestij seperti pertandingan bot laju, lumba perahu kayuh dan perahu naga.




