
SANDAKAN – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan mempertahankan dua kerusi yang dimenanginya iaitu Parlimen Penampang dan Tuaran, dalam perbincangan mengenai pembahagian kerusi dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Presidennya, Datuk Ewon Benedick berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam pimpinan tertinggi GRS apabila tiba masanya.
“Saya fikir bila tiba masanya, perkara ini akan dibincangkan dalam pimpinan tertinggi GRS.
“UPKO sekarang berada dalam GRS, gabungan parti-parti tempatan Sabah dan saya tidak mahu mendahului perbincangan tersebut,” ujarya ketika ditemui media ketika Majlis Makan Malam Sempena Pesta Tanglung Bersama Masyarakat Cina Daerah Sandakan Anjuran Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Libaran, Sandakan dan Batu Sapi, di sini pada Jumaat.

Ewon berkata, beliau percaya Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor akan memanggil semua presiden parti untuk membincangkan perkara berkenaan.
“Sudah pasti sebagai Presiden UPKO, saya akan menyatakan pandangan dan cadangan yang boleh dibincangkan dan ini pastinya termasuk berkaitan dengan kerusi.
“Namun, saya mematuhi dan menghormati perbincangan yang akan diadakan,” kongsinya.
Tambah Ewon, UPKO akan menyatakan hasrat serta cadangannya kepada Majlis Tertinggi GRS apabila tiba masanya.
“Pastinya UPKO akan mempertahankan dua kerusi yang kita menangi sekarang, iaitu kerusi Penampang dan Tuaran dan akan menyatakan hasrat serta cadangan kepada Majlis Tertinggi GRS bila tiba masanya,” katanya.




