
KUANTAN – Seorang warga emas tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya musnah 90 peratus dalam kebakaran di Kampung Baru Cendering di sini malam tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang dalam satu kenyataan berkata, mangsa, Ismail Ali, 65, yang tinggal bersendirian bagaimanapun terselamat dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu.
“Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada jam 9.49 malam dan jentera tiba tiga minit kemudian.
“Rumah separuh kekal berkeluasan 93 meter persegi itu musnah kira-kira 90 peratus.
“Operasi pemadaman dilakukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas dan Indera Mahkota,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya jam 11.00 malam manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.





