
HULU TERENGGANU — Seekor gajah liar yang diberi jolokan ‘Awang Kolam’ oleh penduduk dilaporkan berkeliaran di sekitar Kampung Kolam, Hulu Terengganu sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan komuniti setempat.
Kehadiran haiwan berkenaan dikesan berhampiran kawasan hadapan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Tok Randok.
Difahamkan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Terengganu telah mengambil tindakan dengan membawa seekor lagi gajah ke lokasi bagi membantu memujuk dan mengiringi “Awang Kolam” keluar dari kawasan kampung menuju ke habitat yang lebih selamat.
Operasi tersebut dilaksanakan secara berhati-hati bagi mengelakkan gajah berkenaan bertindak agresif, selain memastikan keselamatan penduduk dan petugas yang terlibat.
Penduduk dinasihatkan supaya tidak menghampiri, mengejar, membuat bising atau merakam haiwan berkenaan dari jarak dekat. Orang ramai juga diminta memberikan ruang kepada pasukan Perhilitan untuk menjalankan operasi dengan selamat dan terkawal.
Kehadiran gajah liar berhampiran kawasan penempatan perlu ditangani oleh petugas terlatih kerana pergerakan dan tindak balas haiwan itu sukar dijangka.
Setakat ini, usaha memujuk ‘Awang Kolam’ sedang dilakukan oleh pihak berkaitan.






