Zahid perlu selesaikan ‘bayang-bayang’ kes mahkamah sebelum teringin jadi PM11 – AMK

HASRAT untuk menerajui Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kini berdepan satu persoalan yang belum selesai sejauh mana Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mampu meyakinkan rakyat mengenai isu integriti yang masih berkait dengan kes Yayasan Akalbudi.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Danish Hairuddin berkata, Presiden UMNO itu wajar menyelesaikan terlebih dahulu proses perundangan berhubung keputusan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) sebelum bercita-cita menjadi Perdana Menteri ke-11.

Beliau berkata, perhatian masih tertumpu kepada perkembangan kes berkenaan susulan permohonan di Mahkamah Persekutuan yang dijadualkan didengar pada 8 Oktober ini.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini menetapkan tarikh tersebut untuk mendengar permohonan Zahid dan Peguam Negara bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam mencabar keputusan menghentikan prosiding kes Yayasan Akalbudi.

Danish berkata, beliau tidak mahu mendahului keputusan mahkamah, namun berpendapat persoalan yang masih membayangi integriti seseorang pemimpin perlu diselesaikan melalui saluran undang-undang.

“Saya tidak mahu mendahului mahkamah dan kita mesti menghormati proses undang-undang.

“Tetapi jika benar ada cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri, saya fikir adalah lebih baik segala persoalan yang masih membayangi integriti seseorang pemimpin diselesaikan terlebih dahulu melalui saluran undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, AMK menghormati hak setiap parti untuk menentukan siapa yang akan diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU16, termasuk hak UMNO dan Barisan Nasional (BN) menentukan hala tuju politik mereka.

Namun, katanya, jawatan Perdana Menteri bukan sekadar bergantung kepada jumlah sokongan politik yang dimiliki sesebuah parti atau gabungan.

Sebaliknya, Malaysia memerlukan pemimpin yang bukan sahaja mampu memperoleh sokongan untuk membentuk kerajaan, tetapi turut mempunyai keyakinan rakyat bagi memimpin negara.

“Siapa yang mahu dicalonkan sebagai Perdana Menteri selepas PRU akan datang adalah hak setiap parti serta gabungan politik dan tidak perlu mendahului keputusan rakyat.

“Namun, sesiapa sahaja yang bercita-cita memimpin negara perlu memahami bahawa jawatan Perdana Menteri bukan sekadar soal mempunyai sokongan politik. Ia turut membawa persoalan integriti, keyakinan rakyat dan imej Malaysia di mata dunia,” katanya.

Isu itu menjadi lebih menarik selepas bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan ucapan dasar Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 sebagai ucapan seorang ‘prime minister in waiting’ atau bakal Perdana Menteri.

Danish berkata, kenyataan Khairy itu secara tidak langsung menjadikan persoalan mengenai integriti Zahid sesuatu yang wajar diberi perhatian, khususnya ketika UMNO sedang membawa naratif untuk kembali menerajui kerajaan.

“Apabila Khairy Jamaluddin sendiri menyifatkan ucapan Presiden UMNO sebagai ucapan seorang ‘prime minister in waiting’, maka saya fikir wajar juga persoalan mengenai integriti yang masih menjadi perhatian masyarakat diberikan penyelesaian yang jelas melalui proses undang-undang,” katanya.

Dalam ucapan dasarnya pada PAU 2026, Zahid mengulangi tuntutan supaya PRU16 diadakan lebih awal kerana yakin BN melalui ‘gelombang biru’ mampu mendapatkan mandat baharu untuk membentuk kerajaan.

Khairy pula menyifatkan ucapan itu sebagai gambaran jelas hala tuju BN menuju pilihan raya akan datang.

Dalam konteks itu, serangan AMK terhadap Zahid bukan sekadar mempertikaikan cita-cita politik beliau, tetapi cuba meletakkan persoalan integriti sebagai salah satu syarat utama sebelum seseorang pemimpin boleh mendakwa dirinya bersedia memimpin negara.

Bagaimanapun, perkembangan kes Yayasan Akalbudi masih tertakluk kepada proses kehakiman dan Zahid belum boleh dianggap bersalah berdasarkan cabaran terhadap keputusan DNAA tersebut. Mahkamah Persekutuan hanya akan menentukan permohonan kebenaran merayu pada 8 Oktober nanti.

Persoalannya kini bukan sekadar siapa bakal menjadi PM selepas PRU16, tetapi mampukah calon yang mahu menduduki kerusi itu terlebih dahulu meyakinkan rakyat bahawa segala persoalan berkaitan integritinya benar-benar sudah selesai?

Related Posts

Sambutan Hari Malaysia 2026: Fahmi jamin capaian internet optimum untuk media

KUCHING – Kementerian Komunikasi memberi jaminan bahawa kualiti liputan dan capaian internet pada malam kemuncak sambutan Hari Malaysia ke-63 akan berada di tahap optimum bagi melancarkan kelancaran tugas pengamal media.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Malaysia-Keralam bincang peluang tingkat perdagangan, pelaburan

KERALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Keralam, V D Satheesan hari ini membincangkan usaha memperkukuh kerjasama ekonomi serta memudah cara perdagangan dan pelaburan antara Malaysia…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sambutan Hari Malaysia 2026: Fahmi jamin capaian internet optimum untuk media

Sambutan Hari Malaysia 2026: Fahmi jamin capaian internet optimum untuk media

Malaysia-Keralam bincang peluang tingkat perdagangan, pelaburan

Malaysia-Keralam bincang peluang tingkat perdagangan, pelaburan

Penghantar barang ditahan bersama dadah, pistol palsu

Penghantar barang ditahan bersama dadah, pistol palsu

Zahid perlu selesaikan ‘bayang-bayang’ kes mahkamah sebelum teringin jadi PM11 – AMK

Zahid perlu selesaikan ‘bayang-bayang’ kes mahkamah sebelum teringin jadi PM11 – AMK

Cadangan MKBs-SEZ: Pemacu baharu ekonomi Miri menjangkaui sektor minyak dan gas

Cadangan MKBs-SEZ: Pemacu baharu ekonomi Miri menjangkaui sektor minyak dan gas

Generasi baharu diseru hayati sejarah pembentukan negara, pelihara keharmonian

Generasi baharu diseru hayati sejarah pembentukan negara, pelihara keharmonian