UMNO dicabar supaya tidak terus berada dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya pada masa sama mengambil tindakan politik yang boleh menggugat kestabilan kerajaan yang dibina bersama.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, sekiranya UMNO benar-benar mahu kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga hujung penggal, parti itu perlu menunjukkan kesetiaan bukan sahaja kepada perjanjian pembentukan kerajaan, tetapi juga kepada semangat kerjasama yang mendasarinya.
Beliau berkata, kestabilan politik perlu dipelihara dan negara tidak seharusnya berdepan ketidaktentuan politik yang tidak perlu.
“Saya menghormati kenyataan Datuk Seri Mohamad Hasan selepas penggulungan perbahasan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di WTC Kuala Lumpur bahawa UMNO akan terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga hujung penggal kerana itu adalah janji yang dibuat ketika kerajaan ini dibentuk.
“Saya juga bersetuju bahawa kestabilan politik mesti dipelihara dan negara tidak boleh dipaksa melalui ketidaktentuan politik yang tidak perlu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Namun, Mahfuz berkata, kesetiaan kepada Kerajaan Perpaduan bukan sekadar kekal memegang jawatan dalam Kabinet, sebaliknya turut bermaksud menjaga kepercayaan, kestabilan dan semangat kerjasama antara parti yang membentuk kerajaan.
Katanya, UMNO mempunyai hak menentukan strategi politik di peringkat negeri, tetapi hak berpolitik datang bersama tanggungjawab berkerajaan.
“Tidak wajar pada satu sisi UMNO mengatakan mahu kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga hujung penggal, tetapi pada sisi yang lain mengambil langkah politik yang boleh dilihat sebagai membina kerjasama dengan pihak yang mahu merampas kerajaan yang dibina bersama oleh 19 parti politik.
“Prinsip tidak sepatutnya berubah apabila melintasi sempadan negeri. Kalau di Putrajaya kita membina rumah bersama, mengapa di negeri tertentu UMNO pula bekerjasama dengan pihak yang mahu mengambil alih rumah yang kita diami bersama?” soalnya.
Mahfuz berkata, perbezaan strategi pilihan raya dan pendapat adalah perkara biasa dalam politik, namun ia tidak seharusnya menimbulkan persoalan mengenai arah sebenar politik UMNO.
“Apakah UMNO benar-benar mahu mempertahankan Kerajaan Perpaduan sehingga hujung penggal, atau sedang menyediakan jalan politik yang berbeza selepas itu?” soalnya.
Beliau berkata, sekiranya rumah politik dibina bersama, semua pihak perlu memastikan struktur rumah berkenaan tidak dirosakkan dari dalam.
“Kalau rumah ini kita bina bersama, jangan seorang membaiki dinding sementara seorang lagi melonggarkan tiangnya.
“Tidak salah berbeza bilik, tetapi jangan sampai masing-masing menarik bumbung ke arah yang berbeza.
“Kalau mahu duduk serumah sampai hujung penggal, jagalah rumah ini sampai hujung penggal,” katanya.
Dalam pada itu, Mahfuz menegaskan beliau tidak meminta UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Sebaliknya, katanya, beliau mahu UMNO belajar bagaimana untuk kekal dalam kerajaan dengan baik dan menghormati asas kerjasama yang telah dipersetujui.
“Kalau dua keluarga berkongsi sebuah rumah, mereka boleh berbeza bilik, berbeza selera dan berbeza pandangan.
“Tetapi jangan dalam masa yang sama masing-masing memanggil orang luar untuk merobohkan bilik jiran.
“Begitu juga dalam sebuah kerajaan. Jangan asah kapak di bawah pokok yang memberi kita teduh,” katanya.
Mahfuz turut mengingatkan UMNO supaya tidak menunggu sehingga dipecat daripada kerajaan untuk menunjukkan pendirian politik.
“Jangan minta Perdana Menteri memecat kita. Cabarlah diri sendiri untuk membuat keputusan dan menanggung akibat daripada keputusan itu.
“Jangan suruh tuan rumah menghalau kita keluar sedangkan kita sendiri sudah memilih untuk pergi,” katanya.
Menurut beliau, jika UMNO merasakan Kerajaan Perpaduan tidak lagi sesuai dengan hala tuju parti, keputusan untuk keluar hendaklah dibuat secara terhormat melalui perbincangan dan peralihan yang teratur.
“Maruah politik bukan terletak pada siapa yang mengeluarkan kita daripada kerajaan.
“Maruah politik terletak pada keberanian membuat keputusan sendiri dengan prinsip dan bertanggungjawab terhadap akibatnya,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan dibina dengan angka tetapi dipertahankan dengan kepercayaan, manakala pertumbuhan ekonomi pula memerlukan keyakinan yang bergantung kepada kestabilan serta hala tuju politik yang jelas.
“Jangan hanya setia kepada perjanjian. Setialah juga kepada semangat perjanjian.
“Kalau mahu bersama, bersama dengan amanah. Kalau mahu berbeza, berbeza dengan tertib. Kalau mahu keluar, keluarlah dengan bermaruah.
“Jangan kekal sambil menggoncang. Jangan keluar sambil meruntuhkan,” katanya.






