
MIRI – Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib memberi jaminan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyalurkan bantuan penuh kepada waris mangsa nahas helikopter di Long Lellang sehingga urusan pengebumian selesai.
Terdahulu, beliau tiba di Lapangan Terbang Miri bagi menerima taklimat di Bilik Gerakan berhubung perkembangan terkini operasi menyelamat serta usaha membawa keluar mangsa dari lokasi kejadian pada Rabu.
Sejurus selesai taklimat berkenaan, Hanifah turut meluangkan masa menyantuni waris daripada lima keluarga mangsa terjejas bagi menyampaikan sokongan moral di samping meninjau keperluan semasa mereka.
“KKM bersama-sama pihak berkaitan akan menghulurkan bantuan sewajarnya dalam urusan pengurusan jenazah serta pengebumian. Kita akan terus memberikan sokongan dan memastikan semua urusan keluarga mangsa dibantu sehingga selesai,” katanya.
Ahli Parlimen Mukah itu menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa serta mendoakan agar urusan membawa keluar jenazah ke Miri berjalan lancar.
Penghargaan setinggi-tingginya juga dirakamkan kepada semua agensi keselamatan atas komitmen padu dalam mengendalikan operasi secara teratur.
Komitmen berterusan akan terus digerakkan oleh pihak kerajaan untuk memastikan kebajikan dan urusan waris mangsa terurus dengan baik sepanjang mengharungi tempoh yang amat sukar ini.






