
SHAH ALAM – Kajang dijangka mencapai status bandar raya dalam tempoh satu hingga satu setengah tahun lagi, sekali gus bakal menjadi bandar raya kelima di Selangor.
Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim berkata, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) kini membuat persiapan ke arah itu selepas memenuhi 15 kriteria yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menurutnya, antara kriteria utama ialah jumlah penduduk yang perlu sekurang-kurangnya 500,000 orang, sedangkan Kajang kini mempunyai kira-kira 1.1 juta penduduk.
“Dari segi pendapatan pula, ia perlu stabil dan sejak tiga tahun lalu MPKj mencatat pendapatan melebihi RM200 juta setiap tahun,” katanya, seperti dipetik berita tempatan.

Beliau berkata, MPKj turut menunjukkan prestasi baik dalam memenuhi kriteria lain termasuk kelestarian, infrastruktur, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), pendidikan, ekopelancongan dan warisan.
Katanya, kertas cadangan menaik taraf MPKj dijangka dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Oktober ini untuk pertimbangan sebelum permohonan dikemukakan kepada KPKT.
“Selepas mendapat kelulusan MMKN, permohonan akan dikemukakan kepada KPKT dan melalui beberapa peringkat seterusnya.
“Kita menjangkakan dalam tempoh setahun hingga satu setengah tahun, sekiranya tiada halangan dan mengikut garis masa ditetapkan, impian Kajang untuk menjadi bandar raya kelima Selangor dapat direalisasikan,” katanya.
Ng berkata, Kajang turut mempunyai kelebihan sebagai hab pendidikan dan potensi besar dalam sektor ekopelancongan serta warisan yang turut menyokong usaha menaik taraf status bandar.
“Kajang mempunyai banyak universiti, sama ada IPTS atau IPTA, selain kawasan ekopelancongan dan warisan.
“Kebanyakan daripada 15 kriteria yang ditetapkan, termasuk berkaitan perkhidmatan, kini berada pada landasan yang baik untuk menuju status bandar raya,” katanya.



