
BAGAN SERAI – Kegiatan Geng Man Kuda yang dipercayai bergiat aktif dalam kes samun dan curi kenderaan di tiga negeri sejak Jun lalu tumpas selepas polis menahan empat individu serta merampas enam kenderaan curi dalam Op Lejang, baru-baru ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, operasi pada 30 Ogos lalu itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian menerusi beberapa siri serbuan di Taiping, Perak dan Kulim, Kedah.
Beliau berkata, empat suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 24 hingga 49 tahun ditahan dalam operasi berkenaan.
“Kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah dan dadah,” katanya dalam sidang media di IPD Kerian, di sini, pada Selasa.

Hasil risikan dan siasatan, kumpulan terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan 14 kes jenayah, membabitkan sembilan kes di Perak, empat di Kedah dan satu di Pulau Pinang, dengan jumlah kerugian dianggarkan RM200,000 sejak Jun lalu.
Menurutnya, kumpulan itu menggunakan modus operandi mencuri kenderaan mangsa yang diletakkan di hadapan rumah dengan menggunakan batang besi yang telah diubah suai.
Mereka turut dipercayai melakukan samun terhadap mangsa yang berada di dalam rumah serta individu yang berjalan bersendirian.
“Susulan tangkapan, polis merampas enam kenderaan curi pelbagai model selain pelbagai barangan kes milik mangsa.
“Operasi ini berjaya menyelesaikan sembilan kes curi dan cubaan curi kenderaan, dua kes samun serta tiga kes curi barang dalam kenderaan,”katanya.
Polis kini turut mengesan empat lagi suspek lelaki warga tempatan berusia antara 30 hingga 36 tahun bagi membantu siasatan berhubung kegiatan kumpulan berkenaan.
Foto : Polis Perak





