IPU Serian cecah 521, Kerajaan Persekutuan, Sarawak bincang langkah tangani jerebu

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan sedang berbincang dengan kerajaan Sarawak berhubung keadaan jerebu yang semakin buruk di Serian, dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 521 petang ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sudah menghubungi Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg, bagi membincangkan langkah lanjut untuk menangani keadaan berkenaan.

“Kita berhubung dengan kerajaan negeri dan Premier Sarawak. Kita sudah berbincang sejak dua hari lalu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri solat Jumaat di Masjid Bukit Indah, Ampang, hari ini.

Ditanya sama ada kerajaan akan mengisytiharkan keadaan darurat susulan bacaan IPU melepasi paras 500, Anwar berkata perkara itu masih dalam perbincangan.

“Kita sedang berbincang. Saya akan tahu lebih lanjut selepas ini,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa sedang membuat persiapan untuk mengambil segala langkah yang diperlukan bagi melindungi penduduk, termasuk kemungkinan menutup sekolah dan pejabat sekiranya keadaan memerlukan.

Bagaimanapun, katanya, agensi keselamatan dan perkhidmatan penting akan terus beroperasi bagi memastikan urusan kritikal tidak terjejas.

Anwar berkata, kerajaan turut mempertimbangkan pelaksanaan pembenihan awan serta langkah lain bagi mengurangkan kesan jerebu.

“Kita akan mengambil semua langkah yang diperlukan, termasuk pembenihan awan dan apa sahaja yang diperlukan,” katanya.

Menurutnya, keadaan jerebu itu sebahagiannya berkait dengan perkembangan di kawasan lain, dengan Sarawak antara negeri yang turut terjejas.

Beliau turut meminta penduduk supaya bersabar sementara pihak berkuasa berusaha menangani keadaan berkenaan.

“Saya berdoa untuk keselamatan rakyat Serian, Sarawak dan semua yang terjejas,” katanya.

Berdasarkan bacaan pada jam 2 petang hari ini, Serian merekodkan IPU pada paras 521 yang dikategorikan sebagai berbahaya.

Semakan di laman Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati Kuching menjadi satu-satunya lokasi lain yang merekodkan bacaan berbahaya, iaitu 311.

Dua lokasi pula merekodkan bacaan sangat tidak sihat, masing-masing Samarahan (284) dan Sri Aman (235).

Sebanyak 11 lokasi merekodkan bacaan tidak sihat, iaitu Sarikei (182), Sibu (181), Mukah (177), Bintulu (157), Kota Kinabalu (152), Tawau (151), Samalaju (146), Sandakan (140), Pasir Gudang, Johor (128), Segamat, Johor (115) dan Miri (112).

Bacaan IPU antara sifar hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.

Bacaan melebihi 500 menunjukkan tahap pencemaran yang amat serius dan boleh mendorong pihak berkuasa mengambil tindakan kecemasan segera bergantung kepada keadaan semasa.

Foto: Utusan Borneo

Related Posts

Mukhlis Mubin, calon Gen Z dengan kekuatan tersendiri

LATAR pendidikan undang-undang, pengalaman kepimpinan mahasiswa dan pencapaian dalam pertandingan pidato antarabangsa menjadi kelebihan calon muda Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi pada Pilihan Raya Negeri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Beri anak muda seperti Mukhlis Mubin peluang, jangan bunuh karakter calon Gen Z

CALON muda yang diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seperti calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Mukhlis Mubin perlu diberi ruang untuk membuktikan kemampuan dan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Mukhlis Mubin, calon Gen Z dengan kekuatan tersendiri

Mukhlis Mubin, calon Gen Z dengan kekuatan tersendiri

Beri anak muda seperti Mukhlis Mubin peluang, jangan bunuh karakter calon Gen Z

Beri anak muda seperti Mukhlis Mubin peluang, jangan bunuh karakter calon Gen Z

Warisan layang-layang perlu terus dipelihara generasi muda – Hasbi

Warisan layang-layang perlu terus dipelihara generasi muda – Hasbi

Kewibawaan Akmal dipersoal, ramai mula sokong Ayu di Merlimau

Kewibawaan Akmal dipersoal, ramai mula sokong Ayu di Merlimau

Pelajar Tingkatan Enam terima elaun mulai semester pertama

Pelajar Tingkatan Enam terima elaun mulai semester pertama

“Keluar sahaja daripada BN” – DAP cabar MCA

“Keluar sahaja daripada BN” – DAP cabar MCA