
SIBU – Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) Sarawak menyerahkan sumbangan kepada 55 penerima eKasih menerusi Program Bantuan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI di Dewan LAKIS pada 29 Julai lepas.
Majlis penyerahan bantuan yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah II ICU JPM Sarawak, Aziba Rashidi itu melibatkan pemberian set peralatan bernilai RM5,000 untuk setiap individu.
Sokongan tersebut diberikan kepada golongan miskin sebagai modal memulakan atau mengembangkan aktiviti ekonomi masing-masing.
“Bantuan ini disasarkan bagi membantu penerima meningkatkan keupayaan untuk menjana pendapatan secara lebih mampan, sekali gus memperkukuh taraf sosioekonomi mereka,” katanya.
Sumbangan yang disalurkan itu merangkumi penyediaan peralatan p-hailing seperti motosikal, kelengkapan jahitan, mesin pencetakan, set solekan, perkakas bakeri serta alatan gunting rambut.
Pelaksanaan program berkenaan diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk berdikari dan seterusnya mencapai kehidupan yang lebih selesa.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)






