
KUCHING – Seorang lelaki warga tempatan berusia 62 tahun mengalami kerugian sebanyak RM161,400 akibat ditipu dalam urusan tawaran tender pembekalan stesen jana kuasa mudah alih secara atas talian.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, mangsa pada awalnya menerima pesanan emel daripada individu tidak dikenali pada 11 Ogos lalu.
Emel tersebut menawarkan tender membekal peranti Anker Solix F3800 Portable Power Station kepada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) cawangan Sri Aman.
Bagi memulakan urusan tempahan, mangsa telah berhubung dengan pihak pembekal melalui nombor telefon yang diberikan lalu membuat empat transaksi pemindahan wang ke dalam dua akaun bank berbeza sehingga 19 Ogos.
“Mangsa sedari ditipu apabila menghubungi JPSPN cawangan Sri Aman dan dimaklumkan bahawa ada orang lain telah menggunakan nama dan cop Majlis Daerah Sri Aman untuk melakukan penipuan,” katanya.
Berikutan insiden terbabit, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih 10 tahun berserta sebat dan denda.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang awam supaya sentiasa membuat semakan nombor telefon dan akaun bank suspek melalui portal Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.






