
PENYERANG Arsenal, Gabriel Martinelli menyertai kelab Arab Saudi, Al Hilal secara perpindahan tetap dengan nilai dilaporkan mencecah 60 juta pound (RM335 juta).
Arsenal mengesahkan perpindahan pemain Brazil itu ke Al Hilal, namun tidak mendedahkan nilai transaksi berkenaan.
Media Britain melaporkan kelab Saudi itu membayar 60 juta pound (RM335 juta) sebagai bayaran terjamin untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 25 tahun itu.
Nilai berkenaan menjadikan Martinelli pemain paling mahal meninggalkan Arsenal, mengatasi rekod Alex Oxlade Chamberlain yang berpindah ke Liverpool dengan nilai 35 juta pound (RM196 juta) pada 2017.
Martinelli menandatangani kontrak selama empat tahun bersama Al Hilal, yang kini berkongsi kedudukan teratas Liga Pro Saudi bersama pasukan Cristiano Ronaldo, Al Nassr.
“Gabriel Martinelli menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al Hilal secara perpindahan tetap,” kata kenyataan Arsenal di laman web rasmi kelab itu.
Martinelli turut meluahkan kegembiraannya selepas diperkenalkan sebagai pemain baharu Al Hilal menerusi video di media sosial kelab berkenaan.
“Bangga menjadi biru, bangga menjadi Al Hilal,” katanya.
Martinelli bakal bergandingan dengan penyerang England, Ollie Watkins di Al Hilal selepas bekas pemain Aston Villa itu turut berpindah ke kelab berkenaan dengan nilai dianggarkan 51 juta pound (RM285 juta).
Perpindahan Martinelli berlaku selepas Arsenal melepaskan seorang lagi penyerang di posisi sebelah kiri, Leandro Trossard yang menyertai Besiktas.
Arsenal bagaimanapun sudah mendapatkan Christos Tzolis dari Club Brugge, namun terdapat kebimbangan ketiadaan Martinelli dan Trossard boleh menyebabkan skuad kendalian Mikel Arteta kekurangan pilihan di posisi berkenaan.
Martinelli membuat 53 penampilan dalam semua pertandingan musim lalu dengan menjaringkan 11 gol ketika Arsenal menjuarai Liga Perdana Inggeris buat kali pertama sejak 2004.
Sepanjang hampir 300 penampilan bersama Arsenal, Martinelli menjaringkan 62 gol selain membantu kelab itu memenangi Piala FA 2020 dan Perisai Komuniti 2023.







