PUTRAJAYA – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak perlu bersikap menunding jari kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kegagalan kerajaan negeri Kedah menutup premis perjudian.
Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Menteri Besar Kedah itu tidak perlu mengheret pihak yang tiada kena-mengena semata-mata untuk menutup kelemahan sendiri.
Sedangkan hakikatnya, beliau memaklumkan, ketika Pas berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional, pentadbiran yang disertai partinya meningkatkan cabutan khas judi daripada lapan kepada 22 kali setahun.
“Sanusi, usah alih tiang gol, sila jawab kekalahan pentadbiran sendiri secara berfakta dan berhenti menjadikan Perdana Menteri sebagai sasaran.
“Usah baling batu sembunyi tangan. Sikap bermuka-muka dan berpura-pura suci dalam isu ini jelas mencerminkan kemunafikan politik.
“Sebaliknya, Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dihamun oleh Sanusi itulah yang menurunkannya kembali kepada lapan kali setahun,” katanya menerusi kenyataan, pada Khamis.
Isu lesen premis perjudian di Kedah kembali menjadi perhatian selepas keputusan mahkamah yang memihak kepada pengendali premis terbabit, sekali gus membatalkan tindakan kerajaan negeri yang tidak memperbaharui lesen mereka.
Hakikatnya, kata Tunku Nashrul, Muhammad Sanusi selaku Menteri Besar yang menerajui keputusan tersebut telah kalah dalam tindakan undang-undang berkenaan.
“Tindakan pentadbiran pimpinannya dibatalkan selepas mahkamah mendapati ia melangkaui bidang kuasa negeri, manakala permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu turut ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.
“Malaysia mengamalkan pemisahan kuasa antara tiga cabang utama, iaitu badan perundangan, eksekutif dan kehakiman.
“Kes ini berpunca daripada keputusan pentadbiran Sanusi, dicabar oleh pihak pengendali dan diputuskan secara bebas oleh badan kehakiman,” katanya.




