KULIM – Cubaan menjual seorang bayi lelaki terbongkar selepas polis menahan enam individu termasuk sepasang suami isteri berusia 41 tahun di Sungai Petani, dekat sini Jumaat lalu.
Pasangan suami isteri itu ditahan setelah kad pengenalan wanita terbabit digunakan bagi tujuan pendaftaran pemeriksaan kehamilan dan proses kelahiran seorang ibu hamil berusia 24 tahun di sebuah hospital swasta.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kes itu terbongkar selepas pegawai perubatan hospital tersebut membuat laporan polis pada 21 Ogos lalu berhubung tindakan seorang wanita tempatan yang mendaftar proses kelahiran menggunakan dokumen pengenalan diri milik individu lain.
“Susulan laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menjalankan pemeriksaan di hospital berkenaan.
“Pemeriksaan membawa kepada penahanan enam individu tempatan terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki berusia antara 24 hingga 50 tahun” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, di sini hari ini.
Adzli berkata, siasatan awal mendapati seorang wanita yang hamil di luar perkahwinan dipercayai menggunakan identiti serta dokumen pengenalan diri milik wanita lain ketika proses pendaftaran, pemeriksaan dan rawatan kehamilan sehingga melahirkan bayi di hospital itu.
“Lebih mengejutkan, selepas bayi lelaki itu dilahirkan, identiti wanita lain tersebut dipercayai akan digunakan bagi tujuan pendaftaran bayi di Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya.
Katanya, seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Lelaki terbabit disyaki membayar kos rawatan dan kelahiran di pusat bersalin itu berjumlah kira-kira RM9,000, selain memberikan wang sebanyak RM8,000 kepada ibu kandung bayi yang dipercayai terlibat dalam urusan berkenaan.
“Pada masa sama, pasangan suami isteri yang dipercayai menggunakan kad pengenalan milik wanita itu untuk mengambil bayi daripada ibu kandung selepas kelahiran turut menjadi antara petunjuk penting yang membantu polis membongkar kegiatan tersebut,” ujarnya.
Susulan itu, kata beliau, polis menyelamatkan bayi lelaki terbabit dan ditempatkan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk pemantauan dan penjagaan pihak hospital serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda.
Tambahnya, antara barang kes yang dirampas ialah empat telefon bimbit, dua gelang penandaan hospital, satu kad pengenalan, satu kad janji temu pusat bersalin, tiga resit pusat bersalin, satu borang kemasukan wad serta sebuah kereta Proton Saga.
“Kesemua enam individu yang ditahan direman selama 11 hari bermula 22 Ogos lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) berkaitan kesalahan pemerdagangan kanak-kanak,” jelasnya.







