
JERANTUT – Projek pembinaan semula bangunan daif di Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Kota Gelanggi 1, di sini, berjaya disiapkan 310 hari lebih awal daripada jadual asal.
Ia sekali gus membolehkan murid menikmati kemudahan pembelajaran dengan lebih selesa.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek bernilai RM7.99 juta itu siap lebih awal tanpa sebarang lanjutan masa, mencerminkan pencapaian baik dalam pelaksanaan projek kerajaan.
Menurutnya, projek yang bermula pada 13 Januari 2025 itu siap sepenuhnya pada 26 Jun lalu, berbanding tarikh asal yang ditetapkan iaitu 2 Mei 2027.
“Kualiti projek pun terbaik kepada warga sekolah, termasuk murid berkeperluan pendidikan khas,” katanya, lapor Kosmo Online.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Penyerahan Projek Ahead Of Time Pembinaan Semula Bangunan Daif di SK FELDA Kota Gelanggi 1, di sini, semalam.
Beliau memaklumkan, berdasarkan maklumat diterima, seramai 17 murid berkeperluan pendidikan khas mendapat manfaat daripada kemudahan disediakan menerusi projek berkenaan.
Tambahnya, terdapat beberapa lagi projek pembinaan dan naik taraf bangunan daif di Pahang yang sedang dilaksanakan dan pihaknya berharap projek itu turut disiapkan lebih awal daripada jadual.





